Berita

DAP Selangor pertikai KDN siasat anak Azmin ketika minggu peperiksaan

KUALA LUMPUR 9 NOV: DAP Selangor hari ini mempersoal tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil anak kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk siasatan kes Bersih 4 sedangkan perhimpunan itu berlangsung dua bulan lalu.

Pengerusinya, Tony Pua berkata, KDN perlu menghenti sebarang bentuk gangguan terhadap Mohamed Basheer Noor Alhaz berusia 15 tahun yang dijadual menduduki peperiksaan akhir tahun, minggu ini.

“Apa yang ada dalam kepala otak polis? Sudah dua bulan perhimpunan Bersih berlangsung. Tiba-tiba, tak ada angin, tak ada ribut panggil Basheer yang kebetulan menduduki peperiksaan.

“Dalam ramai-ramai orang, mengapa siasat anak Menteri Besar Selangor? Atau memang polis mahu panggil semua 500,000 peserta perhimpunan itu untuk siasatan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

anak azminSemalam, Mohamed Azmin Ali melalui twitter, mendedahkan anaknya itu dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung kehadirannya dalam perhimpunan Bersih 4 Ogos lalu.

Mengikut paparan facebook Shamsidar Taharin, isteri kepada Timbalan Presiden PKR itu, anak bongsu mereka, Basheer akan tetap meneruskan peperiksaan di sekolahnya tanpa menghiraukan tindakan KDN itu.

Pua berkata, KDN perlu lebih profesional dalam menjalankan tugas dengan menumpu gerak kerja terhadap siasatan kepada kes jenayah sebenar, bukannya mensasar kepada peserta perhimpunan aman.

“Campur tangan polis tidak membantu membaiki persepsi betapa pelakuan polis bermotif politik dan Barisan Nasional (BN) memperalat setiap jentera kerajaan untuk menindas pembangkang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Ng Tien Chee, pula berkata polis sepatutnya memperuntuk 130,115 anggota untuk membanteras jenayah termasuk menyiasat skandal 1MDB.

Menyifatkan perbuatan KDN itu tidak masuk akal dan menganggapnya sebagai suatu kezaliman terhadap remaja berkenaan, Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu mendesak polis supaya menarik balik notis Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah terhadap Basheer.

“Ini sudah melampau. Ia suatu penindasan polis terhadap ahli politik pembangkang dan rakyat,” katanya pada kenyataan media, semalam.