Berita

Lima langkah selesaikan skandal 1MDB, ‘derma’ Najib

KUALA LUMPUR 9 NOV: Jika Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) yang baru, Datuk Hasan Arifin tidak pasti bagaimana mahu mengendalikan skandal kewangan yang besar, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mungkin boleh memberi tunjuk ajar.

Pertama-tama yang bakal dilakukan Ahli Parlimen Gelang Patah itu jika menyandang jawatan berkenaan ialah memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail untuk memastikan sama ada draf pertuduhan terhadap Najib benar-benar wujud atau sebaliknya.

Ia juga untuk menyiasat sama ada pemecatan Gani yang hanya tiga bulan dari tarikh persaraan, adalah akibat langsung dari faktor draf pertuduhan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan ‘derma’ RM2.6 bilion itu.

Kedua, Kit Siang akan memanggil Peguam Negara yang baru, Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebelum pendengaran PAC dimulakan bagi memastikan tiada perubahan polisi berlaku berkaitan siasatan kedua-dua skandal mega berkenaan.

apandi-aliSelain itu, beliau juga mahu mengetahui sebab musabab Apandi menolak cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendakwa 1MDB atas kesalahan berkaitan kewangan dan tertanya-tanya sama ada Gani akan bersetuju untuk berbuat demikian jika masih memegang jawatan itu.

Ketiga, Kit Siang mahu memastikan PAC mengenal pasti penderma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib sedangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meragui ia datangnya dari negara Arab yang sukar menghulur dana walaupun untuk penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain mahu memastikan jumlah sebenar ‘derma’ yang nilainnya lebih lagi, beliau yakin pemimpin DAP akan didakwa dan dipenjara jika melakukan perbuatan sama walaupun dalam jumlah kecil sekalipun, malah pasti dilabel sebagai pengkhianat negara.

Keempat, beliau mahu tahu ke mana derma itu sebenarnya disalur kerana jumlah itu jauh melebihi had kewangan yang dibenarkan untuk kempen pilihan raya iaitu RM200,000 untuk kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) RM100,000.

Dengan 222 kerusi Parlimen dan DUN (505), maksimum perbelanjaan yang dibenarkan ialah RM44.4 juta untuk Parlimen manakala DUN (RM50.5 juta), menjadikan nilai keseluruhan RM94.9 juta.

Maknanya, perbelanjaan itu kurang RM100 juta. Jadi, ke mana perginya baki RM2.5 bilion atau lebih 96 peratus jumlah derma itu disalur?” katanya sambil mengingatkan, nilai derma itu 26 kali lebih banyak daripada had yang dibenarkan.

Kelima, Kit Siang akan memastikan semua laporan siasatan derma RM2.6 juta dan skandal RM50 bilion 1MDB disiapkan sebelum 30 November supaya Ahli Parlimen dapat membahaskannya di sidang Dewan Rakyat.

“Adakah Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin akan melakukan semua atau mana-mana salah satu daripada lima langkah itu?” katanya ketika berucap pada program Solidariti bersama Lim Kit Siang: Mana RM2.6 bilion di Bandar Sungai Long, Kajang dekat sini, semalam.