Berita

Ahli Parlimen Sabah & Sarawak kuasa penentu tolak Bajet Najib

TENOM 10 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin terpaksa berundur dari jawatannya jika Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak tidak menyokong Bajet 2016 dalam undian pada 16 November ini.

“Kalau Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mahu Najib turun dari jawatan Perdana Menteri dan tolak bajet, habislah beliau. Karier politik Najib di tangan orang Sabah dan Sarawak. Namun, adakah mereka akan berbuat demikian?” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian pada siri pertama kempen ‘Mana RM2.6 bilion?’ dan jelajah ‘Solidariti Bersama Lim Kit Siang’ yang dilancarkan DAP Sabah, semalam.

Pimpinan Pakatan Harapan bercadang menolak Bajet 2016 yang dibentang Najib dan proses undian itu dijadual berlangsung pada 16 November ini. Bagaimanapun, keberanian Ahli Parlimen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak, dipertikai.

Apapun, Kit Siang berkata, perkara terpenting bagi rakyat Sabah dan Sarawak ialah kesedaran untuk melakukan perubahan dalam pilihan raya akan datang dengan mengambil semangat ‘Tenom 1985’.

Berharap rakyat Tenom melakar satu lagi sejarah, Ketika itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu, berkata Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Harris Salleh tewas di tangan calon PBS, (Datuk) Kadoh Agundong.

“Kali ini, sejarah tak mustahil berulang dan ia akan bermula dari Tenom!” katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang turut berucap pada majlis sama menyifatkan antara kegagalan terbesar Bajet 2016 ialah ialah pengabaian terhadap nasib rakyat Sabah.

“Sabah beri banyak sumber kepada kerajaan tetapi masih menjadi antara negeri termiskin. Hhanya cukai penerbangan domestik sahaja dihapus. Ini tidak cukup! Kita mahu rakyat Sabah beri tekanan kepada enam menteri persekutuan dari negeri ini supaya kecualikan Sabah dari GST.

“Jika mereka enggan, saya minta kerjasama semua Ahli Parlimen BN dari Sabah untuk menolak Bajet 2016,” katanya.