Rencana

Krisis air di selatan Johor dan kepentingan konsensus rentas-parti

DAP Johor menyeru Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membuat pengisytiharan rasmi bahawa krisis air di zon Selatan Johor yang berada pada tahap kritikal.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Empangan Layang dan Lebam menyaksikan penyusutan paras air yang amat membimbangkan. Pendekatan rentas-parti diperlukan dalam menguruskan krisis itu.

2015-11-15 19.42.40Mewakili kepentingan dan kerisauan pengguna air di Johor, saya ingin mencadangkan Khaled menubuhkan Jawatankuasa Terpilih berhubung Krisis Air melibatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor dari kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang).

Ia penting untuk mendapatkan konsensus yang rentas-parti sifatnya bagi menghadapi keadaan krisis berkenaan. Pada masa sama, pembentukan polisi jangka panjang dalam memastikan Johor bebas dari krisis air pada masa hadapan.

Kerajaan Johor memberi komisen RM4 juta untuk projek memindahkan 30 juta liter/hari (MLD) air sebagai tambahan air mentah dari Sungai Papan ke Empangan Sungai Lebam dan Sungai Tiram ke Empangan Sungai Layang.

Pun demikian, ia mungkin masih belum mencukupi.

2015-11-15 19.45.20Saya sudah menemui Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings bersama-sama Pengerusi Parti Amanah Negara merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan; Timbalan Ketua Pembangkang DUN Johor, Tan Chen Choon; Adun Johor Jaya Sdri Liow Cai Tung; Adun Stulang, Chen Kah Eng dan dua AJK DAP Johor, Mahdzir Ibrahim dan Sheikh Omar Ali.

Beberapa penduduk yang menjadi mangsa gangguan bekalan air turut hadir sama.

Dalam pertemuan itu, kegelisahan penduduk yang terpaksa berhadapan catuan air sejak 16 Ogos 2015 yang lalu telah kami utarakan.

Kami diberi taklimat oleh pegawai atasan Syarikat Air Johor Sdn Bhd (SAJ), seterusnya ditawarkan untuk melawat Empangan Layang dan Lebam bagi menyaksikan sendiri situasi di sana.

Kami amat prihatin dengan apa yang telah kami saksikan.

Pertama, kedua-dua empangan berhadapan penyusutan paras air yang kritikal sekali.

2015-11-15 19.43.09– Air di Empangan Sungai Layang, Pasir Gudang yang membekal air kepada lebih kurang 580,000 pengguna (sehingga detik lawatan kami) pada paras 19.29m (takat kritikal 23.5m)

– Air di Empangan Sungai Lebam, Kota Tinggi yang membekal air kepada lebih kurang 53,000 pengguna (sehingga detik lawatan kami) pada paras 8m (takat kritikal 12.27m)

Kedua, pembenihan awan berjaya menghasilkan hujan tetapi tidak turun di kawasan tadahan empangan.

Ketiga, diharapkan hujan lebat pada November dan Disember ini akan meningkatkan paras air sehingga cukup untuk menghadapi musim panas-kering pada Januari hingga Mac tahun hadapan.

Namun, harapan itu seakan-akan masih jauh berdasarkan keadaan sekarang.

Jika hujan di kawasan tadahan empangan tidak mencukupi bagi tempoh enam minggu mendatang, zon Selatan Johor dikhuatiri berhadapan krisis air terburuk dalam suku pertama 2016 .

Beberapa bulan kebelakangan ini, saya mendapati ada anjakan terhadap pandangan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri berhubung isu pengurusan air.

2015-11-15 21.48.58Buat pertama kalinya, Menteri Besar membincangkan soal penuaian air hujan, kesan negatif penanaman kelapa sawit di kawasan tadahan air, memastikan perancangan pembangunan perumahan tidak mengakibatkan krisis air untuk jangka panjang dan kajian berhubung kesan perubahan iklim terhadap isu melibatkan air dan sebagainya.

Saya memuji Khaled atas kesedaran bahawa Johor pada jangka masa panjang mungkin berhadapan krisis air yang menuntut agar proses ‘memikirkan semula’ dasar utama negeri melibatkan air dilaksanakan segera.

Saya mendesak beliau menerima saranan DAP untuk menjalankan kerjasama menerusi penubuhan Jawatankuasa Terpilih berhubung Krisis Air yang bersifat rentas-parti untuk mencari penyelesaian bagi mengelakkan krisis berpanjangan yang akhirnya memangsakan rakyat.

 

* Liew Chin Tong ialah Ahli Parlimen Kluang