Berita

Peruntukan kesan barah payudara dipotong sampai ‘kosong’

KUALA LUMPUR 18 NOV: Kerajaan Persekutuan harus mengembalikan peruntukan dua program kesihatan untuk wanita yang dimansuh pada Bajet 2016 dengan mengambil peruntukan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata ia berikutan PMO menerima tambahan peruntukan RM1.1 bilion sedangkan program sepenting HPV Vaksinasi dan Bantuan Program X-ray (Mamogram) tidak menerima walau sesen pun.

Beliau kesal kerana dua aspek kesihatan utama wanita yang lebih perlu dititik berat dipotong 100 peratus selepas Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berdepan pemotongan 90 peratus dari bajet tahun lepas.

Tahun lalu, katanya, jumlah peruntukan untuk kedua-dua program yang asalnya RM20 juta setahun dikecilkan kepada hanya RM2 juta manakala pada bajet kali ini, ia dimansuh sama sekali.

steven sim“Tanpa bantuan itu, saringan mammogram biasanya boleh mencecah RM100. Kira-kira 10 peratus dari 263,627 wanita yang diimbas, 24,980 sedang dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

“Ia menunjukkan program saringan mamogram penting dan banyak membantu sebilangan besar wanita dalam mengesan barah itu dari peringkat awal,” katanya.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Jurucakap Jawatankuasa Sumber Manusia, Wanita dan Kebajikan Parlimen DAP menyifatkan tidak masuk akal untuk memansuh program kesihatan kritikal wanita tanpa memberi penjelasan kerana ia soal hidup dan mati.

Apatah lagi, katanya, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat ketika itu, Rohani Abdul Karim pada 2013 ada membuat rayuan kepada Kabinet untuk meneruskan program mamogram.

“Mengikut Kementerian Kesihatan, barah payudara paling kerap berlaku tanpa tidak mengira usia. Dari maklumat terbaru, ada 3,209 kes dilapor ke Pusat Pendaftaran Kanser pada 2008,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Menyatakan sudah menyuarakan kebimbangannya pada sidang Parlimen tahun lalu, Steven menganggap pemansuhan peruntukan umpama membiarkan pesakit barah disuap dengan pil penahan sakit.