Berita

Bagaimana tangani 1MDB jika Pengerusi PAC ‘takut’ dengan media?

KUALA LUMPUR 20 NOV: Kewibawaan Datuk Hasan Arifin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) baru untuk memastikan integriti dan akauntabiliti kewangan kerajaan dipertikai berikutan ‘ketakutannya’ berdepan pengamal media.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata KPI Hasan bergantung kepada keupayaannya menangani dua dakwaan penyelewengan iaitu derma RM2.6 bilion dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Seakan-akan Parlimen Malaysia menghadapi sindrom skizophrenia, beliau berkata, Malaysia tidak harus mencatat sejarah dalam sistem berparlimen di dunia sebagai memiliki satu-satunya pengerusi PAC yang fobia media.

“Jika ada individu yang patut dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana melakukan penghinaan awam, ia sepatutnya Hasan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Hasan dilapor kebanyakan media tempatan sebagai berkata beliau juga mahu ‘cari makan’ ketika ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil PAC berkaitan skandal 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion.

Ia mendorong Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendesak Hasan meletak jawatan sebagai pengerusi PAC berikutan kenyataan itu memalukan, selain menunjukkan beliau tidak memiliki kebebasan yang diperlukan.

Gerakan Media Marah (GERAMM) turut menyelar Hasan kerana tidak menghormati pengamal media dan memandang rendah kebijaksanaan pembaca apabila memberi alasan kenyataan ‘cari makan’ itu sekadar gurauan.

Kit Siang juga kesal kerana ketika banyak pihak bercakap soal pembaharuan Parlimen supaya mencapai piawaian dunia, kebanyakan ahli parlimen dan speaker, masih berminda dunia ketiga.

“Di seluruh dunia, Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mengadakan sesi di khalayak ramai tetapi di Malaysia, PAC sangat berahsia, malah pengerusinya mengharamkan semua media,” katanya