Berita

Catuan air berterusan di Johor, pampasan patut diberi

JOHOR: Kerajaan Johor melalui Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) harus mempertimbang sejumlah pampasan kepada isu rumah berikutan catuan bekalan air yang menjejaskan kehidupan rakyat negeri itu.

Membentang Bajet Alternatif pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini, Ketua Pembangkang DUN Johor, Gan Peck Cheng, berkata ia berikutan 2016 adalah tahun yang getir untuk penduduk Johor dalam mendepani kemelut isu bekalan air.

Katanya, Zon Selatan Johor khususnya sedang mengalami catuan bekalan air berjadual sejak 16 Ogos 2015 lalu dan krisis itu pada tahap kritikal berikutan Empangan Sungai Layang dan Lebam mengalami penyusutan paras air membimbangkan.

Kesannya, beliau berkata, sesetengah lokasi seperti Pasir Gudang, proses catuan menjangkau selang dua hari iaitu sehari dibekal air, dua hari dicatu hingga menimbulkan keresahan rakyat.

“Jika hujan di kawasan tadahan empangan tidak mencukupi bagi tempoh lima minggu akan datang, zon Selatan Johor dikhuatiri berhadapan krisis air terburuk dalam suku pertama 2016,” katanya.

Mengikut sumber Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penggaram itu, berkata kedua-dua empangan berhadapan penyusutan paras air yang sangat kritikal.

“Usaha pembenihan awan menghasilkan hujan tetapi tidak turun di kawasan tadahan empangan atas faktor tiupan angin yang mengalihkan lokasi awan.

“Lazimnya, jumlah hujan lebat pada November dan Disember membantu meningkatkan paras air untuk menghadapi musim panas-kering pada Januari hingga Mac tahun hadapan. Namun harapan itu seakan-akan jauh melihat keadaan sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata, Bajet Alternatif mencadangkan satu Jawatankuasa Terpilih yang bersifat rentas-parti ditubuh segera dengan melibatkan Adun kerajaan mahupun pembangkang bagi mencari penyelesaian.

Katanya, ia termasuk memikirkan semula dasar-dasar utama negeri dan melakukan penambahbaikan dalam mengangani krisis air dan merangka pelan bertindak jangka panjang bagi memastikan krisis air ditangani dengan lebih berkesan.