Berita

Gagal tangani masalah pendatang tanpa izin dorong kekerapan penculikan

SABAH 20 NOV: Kegagalan menangani masalah pendatang tanpa izin yang membawa kepada Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Pendatang Tanpa Izin di Sabah, antara sebab penculikan terus berleluasa di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, Chan Foong Hin, berkata isu pendatang tanpa izin adalah sebahagian masalah berkaitan kekerapan penculikan kerana kehadiran ramai pendatang boleh memberi ancaman.

Naib Pengerusi DAP Sabah itu berkata, isu rumit bukan sahaja mencegah pencerobohan melalui peranan ESSCOM tetapi mengatasi kemungkinan bantuan ‘orang dalam’ kepada kumpulan bersenjata Abu Sayyaf.

Chan Foong Hin“Terlalu lewat untuk menyalahkan sesiapa kerana gagal selamatkan Bernard tetapi ia tidak pernah terlambat untuk bertindak ke atas mereka yang mungkin bekerjasama melakukan jenayah.

“Kita perlu bersihkan masalah pendatang tanpa izin di Sabah,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian terbaru, dua warga Malaysia diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf sebelum seorang daripadanya, Thien Nyuk Fun dibebaskan  tetapi seorang lagi, Bernard Ghen Ted Fen dari Sarawak dibunuh dengan kejam.

Justeru, Foong Hin berkata, laporan jawatankuasa kerja teknikal susulan laporan RCI perlu dibentang Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mengetuai pasukan khas untuk laporan RCI, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Laporan itu penting. Pairin berjanji menyerahkan laporan akhir tahun ini. Inilah masa untuk kita berbincang di DUN yang bermula hari ini,” katanya yang mengkritik kerajaan kerana gagal melakukan tindakan konkrit sejak laporan RCI siap Disember lalu.

Beliau kesal kerana seluruh proses penyerahan laporan jawatankuasa kerja teknikal RCI tiada komunikasi dengan orang ramai, tidak diketahui siapa memberi maklum balas dan cadangan kepada jawatankuasa yang diketuai Pairin.

“Ia perlu didedahkan kepada umum dengan membentangkan dalam Dewan Undangan Negeri. Hendaklah tiap-tiap orang wakil membahaskannya. “Kata Chan.