Rencana, Sastera

CERPEN: Hari-hari terakhir dunia

BABAK PERTAMA

Hari ini hari yang penting.

Asap akan menari-nari sebentar nanti. Sebuah tarian yang merai dalam keraian. Asap akan meliuk lentuk seolah penari gelek dari Tanah Arab, dan akan terus menari seolah disampuk dengan melodi indah yang memberahi. Berbau sulfur. Atau fosforus. Asap akan berbau sulfur atau fosforus sebentar nanti. Tarian gelek akan bermula, dan melodi tanah Arab akan mula mencandu suasana.

Hari ini, adalah hari yang penting.

Buhaira’ turut meraikan hari ini, tidak; jauh sekali untuk menari. Bagaimana dia masih mampu hidup melepasi takat umur manusia normal pun, itu satu hal yang sakral. Buhaira’ tidak menari hari ini, dia hanya membiarkan Muhammad menari sendirian; atau bersama teman-teman yang meraikan. Pesta ini nanti, adalah pesta yang diizinkan Tuhan. Atas nama Tuhan. Atas suruhan Tuhan. Pesta ini nanti, akan menjadi pesta yang diberkati Tuhan.

Ya, sebuah pesta penting yang diberkati Tuhan!

Muhammad. Pemuda 20-an ini adalah pemuda contoh Lembah Pandora. Pemuda di saf paling hadapan untuk bercakap sama Tuhan. Nama Muhammad itu sepertinya Muhammad, Rasul Tuhan yang tercatat di dalam sejarah dua ribu tahun Hijri yang lalu. Ah, sekitar tahun 3000 Masihi sebegini, Muhammad itu hanya kenangan manis yang tersudut jauh di benak sang pemikir yang fakir dunia. Tetapi pesta ini, pesta yang penting buat Muhammad. Pesta tari diizin Tuhan!

“Apa kamu sudah sedia Muhammad?”

“Buhaira’, malah sejak dahulu lagi.”

“Apa Ali akan bersamamu?”

“Sedekat urat leherku, Buhaira’.”

“Lalu Tuhan?”

“Lebih dekat dari itu. Lebih dekat!”

“Lalu menarilah Muhammad.”

“Lalu nikmatilah, Buhaira.”

Dan langit pun memerhati. Mentari berkocak lagi. Laut tumpah, melimpah-limpah!

BABAK KEDUA

Apakah masa melahirkan keberanian?

Fatimah punya misi menari ala sufi sambil digaul alami. Berputar, dan terus berputar, hingga terlevitasi menyembah yang Esa. Dan Fatimah tak mahu berhenti; dia berputar dan bersajak lagi, hingga tersejat air di bumi.

“Aisyah anakku, ayuh berputar mengikut mummy.”

Aisyah memerhati tingkah pelik ibunya. Gadis 20-an itu tidak mengerti. Selama ini Fatimah tidah pernah menari-nari, malah tersenyum pun tidak pernah. Kali ni rancak pula berputar, melayang niqab berkembang, seolah bunga kuncup disiram embun sakti; mekar semula.

“Aisyah anakku, mahukah kamu mendengar ceritaku?”

“Fatimah ibuku, nyatakan padaku.”

“Bahawa manusia pada tahun 2100 yang lalu, sudah hilang.”

“Aduh ibuku, apa kita ini, cyborg semata?”

“Tentu tidak Aisyah anakku. Kita terlahir semula menjadi manusia.”

Fatimah berputar lagi, makin kencang. Terinspirasi gamaknya.

“Aisyah anakku, pada tahun 2100 yang lalu, semua manusia berubah.”

“Ibuku, lalu menjadi apa?”

“Menjadi Tuhan anakku. Mereka beribadat sehingga terasa sakti.” Fatimah terus berputar-putar

“Terasa sakti?”

“Benar anakku. Mereka beribadat siang dan malam, sehingga mampu mengambil alih tugas Tuhan. Ah, manusia dulu, anakku. Selalu fikir amalan itu matawang ke syurga. Sedang rahmat anakku, rahmat itulah sinar di hujung terowong. Berkelip-kelip ia. Ikutlah berpusing, anakku.”

“Ibuku … mereka… bagaimana mereka hilang? Dibawa bencana atau dilipat-lipat benua kediamannya?”

“Manusia hilang ketika menjadi Tuhan anakku. Ramai orang menyembah agama, tidak menyembah Tuhan anakku. Lalu ritual agama mereka menjadi takat darjat mereka. Manusia lain dihukum seolah syurga neraka itu miliknya. Lalu, kecoh anakku. Kecoh! Dataran ini, kecoh dan lumpuh!”

“Ibuku, apa benar Tuhan menyayangi kita?”

“Benar, anakku Aisyah.”

“Lalu apa buktinya? Pada pencakar langit atau koloni ekso-bumi?”

“Tidak anakku.”

“Pada teknologi pengklonan dan Aeroangkasa?”

“Tidak anakku.”

“Lalu apa buktinya ibuku?”

“Hari ini!”

“Hari ini, ibuku?”

“Hari ini asap akan menari-nari!”

Mereka pitam dijerkah kesyahduan.

BABAK KETIGA

Soy latte. Dibancuh segar dari mesin dapur pintar. Pintar kerana pintalah apa sahaja, akan terlaksana.

Soy latte harus diminum dengan perlahan-lahan. Tak perlu gopoh; barang sedap harus dijamu perlahan-lahan. Seperti wine mahal. Tak pernah diteguk lahap. Hanya dihirup manja-manja, dicumbu bibir sahaja. Jadi soy latte juga begitu. Terhasil dari pengklonan biji kopi yang hanya tinggal sepohon di Kota Akhir. Melalui sains, sepohon itu daunnya rimbun, lebat bunganya juga buahnya (macam lagu nasyid zaman purba, bukankah?!)

Ezham menghirup aroma kopi yang maha seksi. Seksi kerana langka; seksi kerana rasa. Dibiar aroma kopi itu bergentayangan menari, bercantum dengan udara di apartment pintar miliknya, lalu membumbu rasa cinta pagi yang luhur.

Soy latte. Begitu spiritual.

Ezham terus ke bilik; soy latte dibiar di hujung meja, meribut dalam cangkir. Pintu bilik tidur dikuak perlahan, mengejutkan kekasih hatinya.

“Sayang. Bangun. Matahari sudah tiba. Hari ini, hari terakhir kita.’

“Apa sudah Jumaat, Ezham?”

“Jumaat?”

“Iya, bukankah hari terakhir perlu jatuh pada hari Jumaat?”

“Sayang, kamu mimpi?”

“Apa?”

“Sayang, sejak bila kita mengguna pakai sistem hari. Di gelinciran zaman, nama hari sudah tidak relevan, asal mentari masih ada.”

“Lalu, bagaimana Ezham?”

“Bangkit! Soy Latte menunggumu!”

“Lalu bagaimana Ezham?”

“Bangkit! Soy Latte menunggumu!”

“Sayang, lalu kita bagaimana?!”

“Soy latte akan memberi tenaga. Hari ini, hari penting untuk kita!”

“Apa akan berlaku pada hari esok?”

“Kenyataan.”

“Apa pula makna hari ini?”

“Harapan.”

“Makna semalam?”

“Takdir Tuhan.”

“Ezham, temankan baby. Hari ini, hari penting kan?”

“Ya sayang, ayuh bangkit. Soy latte menunggu kita.”

Ezham mengucup teman lelakinya!
BABAK KEEMPAT

Al-Jubbur.

Jubbur tak senang duduk; walau tilam empuk, walau isteri cantik tak gemuk, al-Jubbur tak senang duduk. Dipusing ke kiri, pemandangan Kuala Lumpur Raya silau menyinga, kalau dipaling ke kanan, wajah isteri tak gemuk buat hati semakin remuk. Pendek kata, Jubbur tak senang duduk.

Panjang kata, Jubbur tak pernah tak senang duduk seperi malam ini kerana mungkin esok adalah Hari Akhir jadi dia perlu rancak memperhebat pelan tindakan yang perlu dilakukan untuk mengelakan Hari Akhir dari terjadi walaupun dia terpaksa mengorbankan masa tidurnya hanya kerana ingin terus kekal berjaga menjayakan rancangan dalam mindanya. Panjang kata.

Al-Jubbur.

Hendak dipanggil bendahara al-Annal, tentu dia masih nyenyak tidur. Timbalan presiden yang tak boleh diharap! Nasib baik Al-Jubbur masih gagah walaupun telah berusia hampir dua ratus tahun. Terima kasih kepada eliksir Kettom ciptaan pawang siber di negara ini. Namun malam ini, Jubbur masih belum disapa kantuk, dia ingin memastikan matahari takkan munc-

Terlambat!

Ada satu garis yang berwarna merah menyala. Seolah api. Seolah syaitan. Seolah api syaitan. Merah menyala hai merah menyinga. Al-Jubbur tersentak, hampir tertanggal riwayat dia dijerkah nyalaan merah. Jubbur tersentak hai Jubbur tersentak!

“Celaka aduh celaka. Mentari merah di ufuk timur! Celaka aduh celaka, apa siang datang melibur?”

Mentari. Mentari khatulistiwa datang. Al-Jubbur rasa tercabar. Dalam dada bergaul debar. Hancing, al-Jubbur terkencing dalam seluar! Jubbur tersentak hai Jubbur tersentak!

BABAK KELIMA

Perlu warna merah. Dan hanya merah.

Dari kecil, dia diajar sebegitu. Tanah perlu digembur, biji perlu dari gen yang asli dan subur. Hanya mawar, dan mawar itu harus merah.

Merah dan mewah, itulah mawar.

Dan dia menurut usul itu – yang merah dan mewah itu dipanggil mawar. Sedari kecil dia tekun menyiram dan membiar pucuk digaul mentari khatulistiwa.

Merah dan mewah; barulah tulen dan asli.

Hari berganti, kelopak mekar menjadi. Merah. Mawar merah menguntum senyum. Dia bangga kerana hasil sudah nampak jelas di mata. Mawar merah yang mewah. Digaul mentari khatulistiwa. Harus dijual, pesan ibunya.

Buat beli roti dan mentega.

Untuk keluarga. Pergilah ke pasar. Pasar di sana, pergilah ke pasar di sana.

“Ramai yang akan memuji mawar yang merah dan mewah.”

“Mereka suka?”

“Iya anakku. Di Hari Akhir, mawar harus merah digaul mentari Khatulistiwa.”

Pasar riuh. Dengan pedagang dan pembeli. Rancak seolah menari. Mawar merah yang mewah di bawa bersama, mencari pembeli yang meminati bunga.

“Adik, ada mawar putih atau kuning?”

“Apa?”

“Mawar putih, atau kuning, ada dijual?”

“Apa? Putih atau kuning?! Alangkah mustahil! Hanya ada mawar yang merah! Merah dan mewah digaul mentari khatulistiwa. Hari Akhir akan tiba!”

“Tidak adikku penjual bunga. Mawar punya pelbagai warna, kuning dan putih juga!”

“Mustahil, sedari kecil, aku tahu bahawa bunga itu hanyalah mawar. Mawar itu hanyalah merah. Digaul metari khatulistiwa, mewahlah ia.”

“Adik, apa hanya adik jual, mawar merah?”

“Iya, kerana di dalam Dunia Akhir ini, hanya mawar merah yang wujud. Mawar selainnya tidak asli. Tidak mewah. Tidak tulen. Tidak jitu. Hanya mawar merah yang asli dan betul!”

“Siapa yang mengajarmu adik?”

“Ibuku, dan keluarga, dan jiran, dan masyarakat di lembahku. Mereka mengajarkan aku itu sedari kecil dahulu.”

“Aku mencari mawar putih dan kuning, adikku.”

“Aku perlukan roti dan mentega.”

“Adik, apakah mentari Khatulistiwa, pilih kasih?”

BABAK KEENAM

Asap menari-nari saat mentari tergelincir di Hari Akhir.

 

_____________

* Fahmi Mustaffa aktif menulis di Dewan Kosmik. Novel pertamanya berjudul Laknat diterbitkan Buku Fixi manakala novel sains fiksyen beliau terbitan Simptomatik Press dijangka dilancarkan antara Disember dan Januari ini.