Berita

Kawasan tadahan air tercemar antara punca krisis air Johor berlarutan

JOHOR 23 NOV: Kerajaan Johor perlu memastikan kawasan sekitar tadahan air di kawasan empangan tidak tercemar hingga menyebabkan kegagalan proses pembenihan hujan seterusnya masalah bekalan air berlarutan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin, berkata pewartaan kawasan tadahan air yang diumum Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir. Haji Hasni Bin Haji Mohammad, akan gagal jika aspek penguatkuasaannya tidak berkesan.

“Masalahnya sekarang ialah masalah penguatkuasaan. Contohnya, adakah kerajaan sudah ambil serius terhadap isu aktiviti pertanian di sekitar kawasan empangan tadahan air?” katanya.

Sejak tiga bulan lalu, penduduk Johor berdepan krisis air hingga terpaksa mengadakan catuan berikutan paras di empangan menurun manakala usaha pembenihan awan gagal akibat hujan tidak berlaku di kawasan tadahan air berikutan faktor pencemaran.

Mengikut SAJ, bekalan air bersih semakin kritikal dan masalah itu dijangka berterusan sehingga enam bulan lagi.

Adun Jementah, Tan Chen Choon pula, berkata perlu ada keazaman politik untuk memastikan wujud polisi untuk semua kawasan tadahan air ini tidak dicemari dengan sebarang aktiviti termasuk pertanian.

Pandangan itu disokong Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan yang mencadangkan garis panduan jelas berkaitan dengan perancangan pemulihan dan pembangunan kawasan tadahan air dan sumber air.

“Jabatan berkaitan tanah perlu mengambil tindakan termasuk menarik kembali lesen TOL ke atas mana-mana pihak yang terbabit,” katanya.

Mengikut Artikel 4 dan 3 berkaitan zon penampan, sebarang aktiviti pembalakan dan pembangunan tidak dibenarkan dalam jarak 1.5 km bagi memastikan kawasan tadahan air tidak tercemar.