Berita

Pelajar asing tak tahu berbahasa Malaysia diiktiraf, pelajar tempatan diabai

JOHOR 23 NOV: Tindakan Kerajaan Johor mengiktiraf pelajar asing walaupun tidak tahu berbahasa Malaysia tetapi nasib sekolah persendirian tempatan diabai, dikecam pembangkang.

“ Ini dasar yang tidak adil kepada pelajar yang lahir dan dibesarkan di Malaysia,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pekan Nenas, Yeo Tung Siong pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk jawapan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor, Md Jais Sarday kepada soalan Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau yang bertanya status  Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah-sekolah Menengah Persendirian (UEC).

Dr-Boo-Cheng-Hau-DAP-JohorBr Boo berkata Kerajaan Johor belum mengiktiraf UEC sedangkan Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak sudah mengiktiraf sijil itu, malah Kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil berkenaan pada September 2015 sebagai kelayakan untuk jawatan kakitangan awam negeri..

Beliau berkata, Kerajaan Johor perlu mengambil langkah sama demi memastikan pelajar lulusan UEC layak memasuki intitusi pengajian awam (IPTA) dan perkhidmatan awam.

Malah, katanya, universiti di negara asing termasuk Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Singapura sudah mengiktirafi UEC sejak 30 tahun lalu.

“Kerajaan negeri patut mengambil tindakan progresif untuk mencontohi negara maju itu,” katanya