Berita

Ugutan rogol jurucakap G25, menteri patut ambil tindakan

KUALA LUMPUR 11 DIS: Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid mengecam ugutan rogol seorang pengguna Facebook terhadap Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin.

Beliau mendesak menteri berkaitan mengambil tindakan manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membuka kertas siasatan kes berkenaan bagi mengelakkanya berulang.

“Saya mendesak supaya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia supaya mengambil tindakan terhadap ugutan itu. Khalid pula patut buka kertas siasatan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Faridah menerima ugutan rogol di Facebook yang dimuat naik pada 8 Disember oleh lelaki yang dipercayai berpunca daripada cadangan berkaitan isu khalwat.

Kata Syerleena bimbang masyarakat menerima kelakuan negatif dan buruk terhadap wanita sebagai suatu yang normal sedangkan ugutan seumpama itu harus tidak dijadikan bahan jenaka.

“Ugutan rogol dan keganasan terhadap wanita bukanlah bahan jenaka, lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah kes ugut dan keganasan terhadap wanita di luar alam maya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain Farida, katanya, turut menerima ugutan sama adalah bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan penggantinya, Maria Chin Abdullah melalui sistem pesanan ringkas (SMS).