Berita

Sebar fitnah anti-Melayu, anti-Islam bukti UMNO takut kemaraan DAP

MELAKA 15 DIS: Ketakutan terhadap kemaraan DAP terserlah pada Perhimpunan Agung UMNO lalu sehinggakan parti pemerintah berkenaan memainkan sentimen perkauman dan menfitnah parti majmuk itu, kononnya mengamal diskriminasi terhadap orang Melayu.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan, DAP dituduh melalui media kawalan UMNO sebagai anti-Raja, anti-Melayu dan anti-Islam tetapi semua ini fitnah dan bohong belaka,” kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) menyeru ahli partinya supaya bersatu padu kerana takut jika berpecah DAP akan menguasai negara dan menjadikan orang Melayu sebagai ‘kuda tunggangan’.

“Perdana Menteri yang mengasaskan konsep 1 Malaysia sanggup memainkan isu perkauman dan tanpa asas kukuh melakukan fitnah terhadap DAP.

“Ia hanya menunjukkan Perdana Menteri itu sebagai terdesak, sangat-sangat terdesak,” katanya yang turut mengecam tuduhan kononnya DAP tidak setia terhadap rakan seperjuangan.

“Sejarah membuktikan bahawa DAP adalah parti yang boleh dipercayai dan setia. Pada 1990 dan 1999, DAP bergabung dengan Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif. Dan selepas Pilihan raya 2008, DAP menyertai Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, DAP tidak pernah belot terhadap kerjasama selagi prinsip dan asas yang dipersetujui bersama tidak dicabuli mana-mana parti gabungan dan bukannya seperti UMNO yang bersifat pembuli.

“UMNO tidak boleh dipercayai, sekian lama menjadi pembuli terhadap parti yang bekerjasama dengannya,” katanya