Rencana

Sebuah jambatan, kampung petani dan ‘tuaian’ Impian Sarawak

SEKILAS pandang, Kampung Sungai Ili, sebuah perkampungan petani terletak 28 kilometer dari Bandar Seri Aman, Sarawak, kehidupan penduduknya tidaklah seteruk mana.

Dengan ada infrastruktur seperti jalan dan elektrik – meskipun bekalan air tidak konsisten – kampung itu agak baik berbanding kampung lain yang jauh lebih teruk keadaannya.

Hal ini membuatkan sukar untuk Impian Malaysia menumpahkan simpati kerana keperluan penduduk seakan-akan sudah cukup. Namun, jika diteliti betul-betul, di seberang Sungai Tandok yang merentas pedalaman Batu Lintang, terserlah segala kesusahan dan masalah.

Sri Aman 1Kebanyakan petani di situ menanam, berkebun dan menuai tanaman di tanah suai tani terletak di seberang sungai berarus deras selebar 70 kaki itu. Bertahun-tahun mereka mengangkut hasil tuaian dengan menyeberang sungai itu.

Mereka tiada pilihan selain berjalan kaki kerana tiada kenderaan dapat memasuki kawasan itu untuk membawa hasil tuaian ke jalan utama sama ada untuk jualan atau kegunaan sendiri. Mereka sebenarnya menempuh bahaya setiap kali hujan lebat kerana paras air sungai itu naik setinggi 20 kaki atau lebih – petani terdedah risiko lemas.

Bimbang akan keselamatan mereka, walau buntu mencari jalan penyelesaian, mereka meminta pertolongan DAP Sri Aman yang kebetulan mengambil bahagian dalam program Impian Sarawak.

Tanpa mengecewakan penduduk, Impian Sarawak mengerah keringat membantu membina jambatan besi – yang terpanjang pernah dibina Impian Sarawak dengan kos RM50,000 dan mengambil masa seminggu untuk siap.

Berukuran 86 kaki panjang dan empat kaki lebar, jambatan seberat tiga tan itu menggunakan alat evakuasi untuk diangkat dan dipasang. Bahan tahan lasak digunakan antaranya 2,500 kilogram simen dengan 20 tan pasir dan batu.

Penduduk turut membantu meletakkan kaki jambatan itu dengan simen berukuran 5x5x5 kaki sebagai penahan.

Sri Aman 4Dengan adanya jambatan itu, segala keluh resah penduduk 54 pintu rumah kampung itu kini berakhir. Mereka boleh menunggang motosikal melalui jambatan berkenaan, dengan beban lebih ringan dan paling penting, keselamatan jauh lebih terjamin.

Sebenarnya, Impian Malaysia tidak memerlukan usaha banyak untuk membantu penduduk kampung itu tapi melakukannya dengan sungguh-sungguh.

Meski dana terhad – tidak seperti kerajaan dan pihak berkuasa yang memiliki lambakan dana besar tetapi malangnya, tidak mampu menjalankan projek sekecil itu untuk keselesaan dan keselamatan penduduk luar bandar itu sejak 50 tahun lamanya.

 

* Lim Chia Ying ialah antara pasukan Impian Malaysia