Rencana, Sastera

CERPEN: Cermin

SUDAH lama aku di sini.

Dari hari pertama kompleks membeli belah ini beroperasi. Tugasku membantu mereka yang datang ke bahagian pakaian wanita. Harus setia walau apa pun kerenahnya; asalkan pelanggan berpuas hati dan membeli apa sahaja yang berkenan di mata. Tujuan aku ditempatkan di sini, sama seperti pekerja-pekerja yang lain; menjana laba semaksimum mungkin buat pemilik modal yang aku sendiri tidak pernah kenal siapa orangnya.

Masih awal. Kompleks belum dibuka. Beberapa orang pekerja mundar-mandir, sibuk memulakan tugas masing-masing.

“Kejap lagi nak makan kat mana?” Entah dari mana Kak Sherry dan Lisa muncul. Kak Sherry berhenti; membelek solekan pada cermin di sebelahku.

“Saya bawa bekal kak … Tengah kering ni. Bulan ni perit sikitlah kak. Tambang LRT naik, makan pun makin mahal… Huh, gaji seminggu lagi. Ni nak survive pun dah mencungap. Nak tunggu seminggu, mau mati kering agaknya!” sungut Lisa.

“Akak pun sama, pening juga. Mana nak bayar rumah, kereta, petrol; tol lagi. Tu belum kira tuisyen anak; yuran taska; bas sekolah … Macam-macamlah! Ni bulan depan budak-budak nak masuk sekolah. Barang sekolah banyak yang kena GST!” Kedua-duanya terus beredar. Mungkin sedang tergesa-gesa untuk sesi taklimat.

Di sini aku belajar mengenali watak-watak manusia. Perbualan para pekerja dan pelanggan banyak mengajarku. Aku tidak dapat mengikuti perkembangannya, tetapi semakin kerap terdengar rungutan tentang keperitan melangsungkan hidup – terutama dari kalangan pekerja bawahan.

Aku tidaklah berapa mengerti. Semuanya ini kemudian dikaitkan dengan situasi politik terkini. Kerana itu sesekali terdesis juga bisik-bisik politik.

Tentang kemewahan; pembaziran dan penyelewengan pemimpin negara. Tentang derma dari Timur Tengah; tentang pemecatan orang nombor dua negara; tentang wanita pertama yang dikatakan orang sebenar yang mentadbir di belakang tabir. Paling terbaru dan mengharukan: desas-desus harta yatim yang telah disalahgunakan. Walaupun ada masanya ingin aku meluahkan betapa aku bersimpati pada mereka, tetapi aku juga perlu insaf akan hakikat wujudiahku.

Kebanyakan yang datang adalah golongan berada. Ada yang datang hampir setiap minggu. Kebanyakannya tidak lokek berbelanja; asal kehendak hati dapat dipenuhi. Adakalanya seperti ingin memiliki semuanya, seakan tak akan ada lagi hari esok. Aku selalu tertanya-tanya, apakah pekerjaan mereka? Wang bukanlah soal besar. Yang selalu diributkan ialah bagaimana mahu menghamburkannya.

Suara lunak juruhebah mengumumkan waktu perniagaan sudah bermula berkumandang.

Jeda.

Alunan lembut piano solo “Spring Waltz” karya Frèdrèrick Chopin ke udara. Menyerlahkan suasana eksklusif dan serba mewah. Sepasang kekasih yang masih muda menghampiri. Si wanita terus ghairah memilih dan mencuba beberapa helai pakaian.

“Sayang, baju Cucci ni sexy tak?”

Si lelaki mengangguk, tersenyum lebar dengan mata mencerlang.

“Tapi baju ni plainlah …,” rengek si wanita seraya membusungkan dadanya. Tangannya mula berpaut pada leher kekasih.

“Apa masalahnya? Kalau you suka, beli jelah. I bayar!” Tangan si lelaki pula berlingkar pada pinggang wanita itu, bibir keduanya hampir bertaut. Sedangkan aku harus tetap di sini. Keadaan tidak memungkinkan aku berganjak.

“Hishh … you ni naughtylah!” Wanita itu menjarakkan sedikit wajahnya. “Baby, I serious ni ….”

“Belilah … kalau you dah suka.”

“Alah, rugilah! Beli mahal-mahal tapi plain. Orang tak tahulah I pakai Cucci.”

“Ok. Kalau macam tu, pilihlah yang lain …” Kedua-duanya melangkah. Tangan lelaki masih kejap melingkari pinggang kekasihnya. Si lelaki membisikkan sesuatu; teman wanitanya keriaan, mencubit manja lengannya.

Babak seperti itu bukanlah sesuatu yang luar biasa di sini. Kebanyakan pasangan kekasih, begitulah lagaknya. Tetapi itu bukanlah watak paling jelik yang pernah aku temui. Ada yang lebih dasyat dari itu.

“Farah, kau kena jaga-jaga dengan husband kau. Jangan sampai bini tua yang control dia.” Wanita cantik itu mematut-matutkan baju di badannya; tercegat di hadapanku tanpa segaris senyuman.

“Alah, nak risau apa? aku kan muda lagi! Hello … madu aku tu dah tua. Mana boleh gugat aku!” Farah mengekek.

“Lelaki. Kau percaya?” soalnya, “Memanglah kau still bergetah, tapi belum cukup syarat lagi ….”

“Maksud kau?” pintas Farah.

“Kena ada cara lain juga nak tundukan lelaki ni Cik Farah ooiii…! Tengok aku, mula-mula nombor dua, sekarang nombor satu; dapat title ‘Datin’ lagi. Kalau bukan sebab ilmu penunduk Dukun Besah, mustahil dia nak ceraikan bini dia!”

“Alah, ada aku kisah? Dia tak nak balik pun lagi bagus! Si tua tu bukannya larat sangat. Kita belum apa-apa; dia dah layu! Lantaklah, yang penting duit dia! Kalau aku sunyi, aku ada Faizi.” Farah tertawa galak.

“Itulah kau!” tingkahnya, “Kau control dia, samalah macam kau control poket dia! Kalau dia dah tunduk, kau nak simpan sepuluh macam Faizi pun boleh. Macam aku!”

So?

“Kau tak nak cuba? Mujarab tau ….”

Aku tidak sanggup menelinga butir perbualan seterusnya. Aku sedar, mereka pasti merasakan darjat mereka lebih tinggi dariku. Tetapi tidakkah mereka patut malu pada Tuhan? Ah, mungkin begitulah manusia pada hari ini. Celaru nilai! Terperangkap di tengah-tengah masyarakat materialistik yang semakin bejat. Tetapi, apalah aku untuk bersuara. Mustahil ada yang akan mempedulikan aku. Aku sangat yakin akan keyakinanku ini.

Dua orang wanita separuh baya mampir. Melihat-lihat beberapa pakaian sambil rancak berborak.

“Susahlah Datin,” rungut wanita yang agak subur badannya, “Nak holiday, banyak benar mata-telinganya sekarang. Nak shopping pun ramai yang menyibuk! Tau-tau meletup kat internet, viral kat Facebook!” Wanita itu membelek sehelai baju yang kelihatan amat mencolok mata untuk bentuk badan sepertinya.

“Yalah Puan Sri … I pun ada dengar fasal husband you. Alah … dah laki kita dapat privilege, kita gunalah. Rezeki, takkan nak tolak! Dia orang tu semua dengki. Cuba kalau dia orang dapat peluang ….”

“Sebab tulah I ajak you shopping. At least, boleh tenangkan kepala yang serabut ni kejap.” Wajah Puan Sri beransur murung. Cepat-cepat dihela nafas dalam-dalam. “Hmm … apa kata kita pergi minum-minum dulu? Boleh sambung chit-chat,” cadangnya dengan suara yang semakin jernih. “Dont worry I belanja,” tokoknya lagi.

“Jom!”

Mereka berselisih dengan sepasang suami isteri. Pasangan itu diekori budak lelaki yang sedang menangis. Rengekan anak itu langsung tidak dihiraukan.

“Papa, boleh tengok Danish ni kejap tak? Mama nak tengok dress ni!” Si isteri seakan-akan memerintah.

“Danish nak apa?” Si ayah acuh tak acuh, tumpuannya lebih terarah pada skrin telefon.

“Danish nak robot Transformers!” bentak anak itu sambil menghentakkan kaki. Ngongoiannya makin menjadi.

We just bought Galaxy Tab for you yesterday!” tekan si ayah.

“Danish tak nak yang ni!” Tablet dilepaskan.

“Janganlah macamni. Nanti rosak!” Tablet dipungut, dihulurkan semula pada anaknya.

“Danish tak nak! Danish tak naklah!” Anak itu merentap tablet yang disuguhkan, melemparkannya sekuat hati.

Sesuatu melayang deras ke arahku. Aku kaku. Tak mungkin dapat mengelak.

Prrraaannggg!!!!

“Tengok, habis pecah cermin tu! Danish ni malukan Mama jelah!” jerkah si ibu. Esakan si anak terus meninggi; bergalau dengan leteran si ibu. Beberapa orang pekerja meluru cemas.

Aku terbelah.

Sebahagian jasadku masih kukuh melekat pada dinding. Sebahagian lagi terpukah; berderai menjadi repihan-repihan kaca.