Berita

GST dan kenaikan harga barang, kenyataan Najib ‘kelakar’

KUALA LUMPUR 21 DIS: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak sesekali menyalahkan kerajaan berikutan kenaikan harga barangan lantaran ia bukan akibat pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sebagai ‘kelakar’.

“Semua orang termasuk budak sekolahpun tahu harga barang naik disebabkan oleh GST yang banyak membebankan rakyat,” kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Ng Tien Chee.

Menganggap perbuatan itu tidak bertanggungjawab, beliau menyifatkan ia menunjukkan Najib terdesak untuk hingga sanggup mengelirukan orang awam mengenai fakta sebenar kenaikan harga barangan harian.

“Najib bukan sahaja tidak berani berdepan dengan wakil rakyat di Parlimen malah cuba mengelirukan rakyat bahawa tidak boleh salahkan kerajaan kerana harga barang naik,” katanya pada kenyataan media, semalam.

Katanya, Najib terlupa janjinya sebelum pelaksanaan GST kononnya hasil cukai itu akan dikembali untuk pembangunan negara sebaliknya pembentangan Bajet 2016 menunjukkan pelbagai peruntukan dikurangkan.

“Sehingga kini, kutipan GST sebanyak RM30 bilion, maka, Najib mungkir janji,” katanya.