Berita

Mohon pampasan buat 13 mangsa nahas bas, DAP Johor temui Duta Thailand

KUALA LUMPUR 22 DIS: Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong hari ini bertemu Duta Thailand di Malaysia bagi mendapatkan penerangan mengenai kejadian nahas bas yang mengorbankan 13 rakyat Malaysia, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kluang itu berharap Kerajaan Thailand melalui skim insuran pelancongannya dapat memberi pampasan kepada mangsa nahas kejadian berkenaan.

“Ia bukan sesuatu yang biasa, saya mewakili DAP Johor berharap Kerajaan Thailand dapat berbuat sesuatu bagi membantu keluarga mangsa nahas,” katanya selepas pertemuan itu, petang ini.

SUFI4963Ahad lalu, negara digemparkan dengan insiden nahas bas yang meragut 14 nyawa termasuk 13 pelancong dari Malaysia, semuanya dari Batu Pahat, Johor.

Kejadian berlaku apabila sebuah bas pelancong terjunam ke gaung di Lebuhraya Chiang Mai-Chiang Rai di daerah Doi Saket, kira-kira 30 kilometer di utara Chiang Mai sekitar jam 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).

Turut hadir pertemuan itu ialah Timbalan Pengerusi DAP Johor, S Ramakrishnan dan Ahli Dewan Negeri (Adun) Penggaram, Gan Peck Cheng yang juga Ketua Pembangkang Johor.

Sementara itu, Peck Cheng berterima kasih kepada Kerajaan Thailand kerana segera mengenal pasti mangsa dan menguruskan penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.

“Dua pesawat tentera udara Thailand dan Malaysia menghantar pulang mangsa yang dijangka selesai selewatnya esok.

“Saya amat bersimpati ke atas keluarga mangsa nahas itu,” katanya kepada pemberita sambil menyatakan proses pengecaman mangsa selesai jam 3 petang waktu Malaysia.