Berita

Pindaan bajet di luar Parlimen belakangi amalan demokrasi

KUALA LUMPUR 23 DIS: Sebarang hasrat melakukan semakan bajet harus dibuat di Parlimen kerana ia termaktub dalam perundangan dan perbuatan memindanya sembarangan umpama membelakangi institusi demokrasi itu.

“Kerajaan Persekutuan seharusnya tidak bentang bajet berdasarkan keuntungan ramalan minyak mentah yang tidak realistik dan berharap rakyat tertipu dengan sasaran defisit yang tidak realisitik

“Pindaan bajet harus diluluskan di Parlimen, berkali-kali kerajaan tidak mendengar saranan pembangkang supaya pindaan dibuat sebelum sidang Parlimen berakhir,” kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Pada bajet itu, kerajaan Persekutuan menetapkan harga setong minyak mentah USD48 tapi ada ura-ura Timbalan Menteri Kewangan, Johari Abdul Ghani dan Perbendaharaan mahu menyemak semula bajet itu pada Januari ini.

Ia berikutan tindakan Kerajaan Persekutuan gagal memberi anggaran tepat dalam menentu harga setong minyak mentah dalam laporan Bajet 2016 yang dibentang pada sidang Dewan Rakyat lalu.

Pada kenyataan media hari ini, Chin Tong juga tidak menolak kemungkinan kerajaan Persekutuan akan memotong bajet untuk rakyat tetapi mengekalkan peruntukan berkaitan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Yakin kerajaan ‘kekok’ dalam menghadapi era kejatuhan harga minyak mentah dunia, beliau berkata ekonomi negara tidak seharusnya bergantung penuh terhadap sektor minyak mentah dan gas yang tidak menentu.

“Sejak perang di Iraq pada 2013, harga minyak mentah dunia jatuh dalam anggaran USD 80 setong untuk tempoh 12 tahun lalu.

“Kerajaan bergantung penuh terhadap keuntungan minyak untuk mengimbangi pembaziran yang dilakukannya,” kata Pengerusi DAP Johor itu, menambah kerajaan tidak mengembangkan ekonomi dalam sektor lain.

Beliau berkata, perbahasan mengenai semakan Bajet 2016 tidak harus disempitkan dalam skop menentukan harga minyak mentah, sebaliknya mencari jalan lain untuk memperkembang ekonomi negara di tengah-tengah kejatuhan harga minyak dunia.