Berita

Tegakkan kebebasan beragama, tidak haramkan perayaan lain

KUALA LUMPUR 24 DIS: Aktivis DAP, Young Syefura Othman berharap kerajaan Malaysia mencontohi pendekatan kepimpinan Rasulullah SAW terutama dalam hal kebebasan beragama, keadilan sosial dan semangat kebersamaan masyarakat.

Justeru, Penolong Setiausaha DAP Wanita Kebangsaan itu yang lebih dikenali sebagai Rara berharap larangan sambutan Hari Krismas di Brunei tidak akan berlaku di Malaysia, malah mengajak semua pihak menghormati dan menjaga keharmonian antara kepercayaan penganut lain, di negara ini.

Katanya, isu ucapan orang Islam terhadap perayaan agama lain ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama dan ia tidak wajar disekat apatah lagi dihukum sekalipun ada yang mengharamkannya.

“Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengharam, menyekat dan menghukum sambutan perayaan agama lain ketika beliau di Madinah,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Young Syefura berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar hari untuk umatnya memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya menyatakan rasa cinta dan kasih kepada baginda.

“Kita semua khususnya umat Islam patut menyambut hari ini dalam erti lebih dalam iaitu merai dan menghayati perjuangan Rasulullah SAW.

“Perjuangan Rasulullah SAW bukan sekadar menyebar syiar Islam tetapi mendapatkan kebebasan, memastikan keadilan dan hidup bersolidariti bagi semua umat manusia,” katanya.

Dalam melaksanakan Islam, katanya, baginda menggunakan cara berhikmah, berhemah, berimbang bagi memastikan tiada kekerasan, kezaliman berlaku terhadap sesiapa jua, sama ada umat Islam ataupun bukan Islam.

“Di kala ini, dunia dan negara kita seperti terjerat dengan semangat melampau yang berteraskan kepercayaan, perkauman dan ideologi politik.

“Gejala itu menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat, seterusnya melemahkan kestabilan sosiopolitik negara dan keharmonian masyarakat,” katanya yang mengucapkan selamat menyambut Hari Maulidur Rasul kepada umat Islam dan Selamat Hari Natal kepada penganut Kristian.