Budaya

Puisi perlawanan ‘Widji Thukul’ suram di Malaysia

SEKEPING papan tanda tertulis Penjahit Nganthi Merah dan kelihatan mesin jahit di hadapan rumah. Jika di Jebres, Solo Indonesia, tidak lain tidak bukan itulah rumah Wiji Thukul, perusahan jahitan dan cetakan t-shirt yang dijalankan oleh Ibu Sipon iaitu isterinya.

Wiji Thukul bermaksud Biji Tumbuh atau nama sebenarnya Widji Widodo dilahirkan di Solo, 26 Ogos 1963 yang dihilangkan regim Orde Baru pada Mei 1998 sehingga kini statusnya masih tidak diketahui.

Oktober lalu, saya bertemu Ibu Sipon, setelah siapnya buku kumpulan puisi Aku Ingin Jadi Peluru edisi Malaysia, Mac 2015.

Seingat saya, pertama kali melihat puisi-puisi Thukul melalui zine-zine punk/hc dari Indonesia; zine Anatasia, Membakar Batas, Ghandi Telah Mati dan lain-lain tidak kurang juga zine-zine Malaysia yang memasukkan puisi-puisinya, pasca reformasi 98.

Puisi-puisi Thukul; puisi pamphlet melonjak naik dan menjadi ketakutan serta ancaman besar regim Orde Baru setelah tercetusnya Reformasi 98 di Indonesia sehingga menjadi buruan pemerintah Orde Baru.

Beliau terpaksa meninggalkan keluarga – isteri dan dua anak – sehingga ke Kalimantan, dengan hidup berpindah-randah dan pergerakannya sangat terbatas. Jelas sekali, puisi-puisinya meninggalkan kesan sejarah yang amat besar.

Wiji Thukul berasal dari keluarga miskin, bapanya hanya tukang beca. Dan seperti kebanyakan anak-anak miskin lain, beliau tidak meneruskan alam persekolahan dan bekerja sebagai buruh, berjualan akhbar serta seiring perjalanan waktu, beliau juga mula menulis untuk majalah.

Jadi, isi puisi-puisinya mengenai kehidupan diri, keluarganya dan lingkungannya yang miskin selama ia membesar. Thukul meminati puisi sejak di bangku sekolah – aktif menulis puisi dan mengikuti teater di kampungnya, kumpulan Teater JAGAT (1981).

sajak wiji tukulPuisi-puisinya banyak dihantar ke akhbar dan radio pada peringkat awalnya. Selepas berkahwin, beliau bersama isteri dan temannya mendirikan Sanggar Suka Banjir (lewat 80-an) di halaman belakang rumahnya.

Pelbagai aktiviti kesenian dengan mengajar anak-anak setempat melukis, menulis puisi, teater, workshop dan berbagai-bagai lagi. Nama Suka Banjir digunakan kerana kawasan rumahnya selalu banjir bila hujan.

Puisi-puisinya mulai dikenali ramai setelah Widhi Thukul membaca puisi-puisi ke kampung hingga ke seluruh kota. Sehingga akhirnya, beliau dan kawan-kawannya bersama menubuh Jaringan Kesenian Rakyat (JAKER) pada 1994 dan memimpinnya.

Masyarakat umum berasa terwakili dengan puisi-puisi Thukul, dengan bahasa seharian dalam puisi-puisinya sehingga demonstrasi juga puisi Thukul dibaca dan disebar. Akhirnya puisi-puisi itu menjadi satu bentuk perlawanan terhadap pemerintah sehingga mulai tercetusnya Reformasi 98.

Thukul menjadi buruan Orde Baru sehingga dia terus hilang Mei 1998, dipercayai diculik oleh militer bersama 12 aktivis lain.

Perlawanan dalam bentuk kesenian yang membawa suara terpinggir kalau dilihat secara ringkas, organisasi yang tersusun dan meluas dimulai oleh LEKRA (Lembaga Kebudayaan Rakyat) yang terbentuk pada 17 Ogos 1950.

Dengan karya-karya; cerpen, puisi, lukisan, teater dan lain-lain dan akhirnya 1965 peristiwa G30S menghancurkannya. Kekangan-kekangan oleh Orde Baru kepada rakyat yang terpinggir, terus melahirkan seniman yang membawa suara rakyat dalam karya mereka.

Kesinambungan itu berterusan walaupun dengan kelompok kecil, lahirnya lagu Bongkar (1989) lirik oleh Sawong Jabo yang dipopularkan oleh kumpulan Swami, antara lain puisi-puisi Thukul; Peringatan (1986), Nyanyian Akar Rumput (1988), Nonton Harga (1996), Puisi Sikap (1997) sehingga perlawanan melalui kesenian mulai membesar.

Bersama dalam gejolak politik Reformasi 98, maka lahirlah lagu Darah Juang yang dicipta oleh John Sonny Tobing aktivis mahasiswa UGM Yogjakarta, komunitas Taring Padi (dengan cukilan kayu), JAKER dan berbagai-bagai lagi.

Seni perlawanan merebak dan tersebar luas pada masyarakat umum. Seperti kata pengantar Ibu Sipon pada buku Aku Ingin Jadi Peluru: “Kita manusia yang mengalami akan merasa terwakili” kerana pengisian dan bahasanya mewakili rakyat terpinggir.

Begitu juga puisi-puisinya digunakan sebagai alat perjuangan. Bagi Thukul, puisi itu sendiri membentuk kesedaran politik, penindasan terhadap rakyat bukan sekadar diangkat dalam karya tapi kesenian harus digerakkan bersama rakyat tertindas.

Kesenian itu tidak boleh terpisah dengan rakyat. Unsur seni perlu ada kritik sosial bukan sekadar barang elit yang terlalu puitis, gah di galeri semata-mata. Jika dilihat Reformasi 98 di Malaysia, ia didominasi oleh orang-orang politik.

thukul4Kesenian itu tidak bergerak seiring dengan politik, hanya secebis karya seni ada nilai kritik sosial dan agak mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat, maka munculnya semasa reformasi dan pasca reformasi di Malaysia; puisi Macam Orang Gila oleh Dinsman, (Buku Kumpulan 50 Sajak Macam Orang Gila terbitan Penerbit Pemuda 2001), novel Shit oleh Shahnon Ahmad (terbitan Pustaka Reka 1999), Zunar dengan kartun lelaki berhidung besar, Fahmi Redza dengan artwork Hentikan Salahguna Kuasa Polis dan lain-lain.

Tapi, momentum perlawanan dalam bentuk kesenian era serta pasca reformasi tidak berpanjangan dan meluas sehingga sampai pada seluruh masyarakat kerana tewas dengan nafsu-nafsi orang-orang politik yang ingin mengganti kekuasaan.

Polemik yang sedikit panjang hanya tertumpu pada novel Shit – yang dibahas ‘seniman-seniman agong’ hanya berkisar sisi luaran semata-mata, tak kurang yang mengambil sikap tidak berpihak; mungkin untuk menjaga supaya ‘dapur mereka sentiasa berasap’ – berlegar pada halal haram oleh agamawan dan lain-lain tapi tidak berkisar pada isi pokok karya pengarang.

Akhirnya, polemik itu larut dengan pengharaman novel itu.

Ini berbeza dengan Indonesia sehingga kini. Puisi-puisi dari Thukul masih jelas dan bergema di mana-mana dan masih diingati ramai, begitu juga lagu-lagu perjuangan.

Terbaru, anak keduanya Fajar Merah melagukan beberapa puisi Thukul bersama kumpulan Merah Bercerita. Malangnya di Malaysia, kesenian itu seperti kemarau dan kontang. Seni dan sastera di Malaysia hanya dibahaskan pada kulitnya, hanya pada puitis bahasanya, tidak berakar umbi kepada masyarakat.

Seniman hanya berkeluh-kesah soal royalti buku, anugerah itu ini, seolah-olah seni begitu asing kepada umum, hanya bergema sesama mereka. Sedangkan Malaysia sendiri tidak kurang budaya keseniannya tersendiri. Sekarang, ia sekadar menjadi persembahan tertentu, pengisiannya sekadar hiburan dengan hal-hal yang tidak berbekas kepada masyarakat.

Jarang-jarang juga terdengar slogan ‘rakyat’ dalam kesenian tapi sekadar berpusing-pusing di ruang lingkup tertentu sahaja. Dan, yang jelas masalah rakyat tidak berpenghujung. Kesenian itu tidak disebar luas seperti kata Thukul dalam sebahagian puisinya: “telah kami sebar biji-biji, suatu saat nanti akan tumbuh bersama” (Puisi Bunga dan Tembok).

Jelas puisinya sentiasa hidup dalam masyarakat dan zaman, puisinya tidak pernah mati.

siponBicara Ibu Sipon apa yang membuatkan dia kuat menghadapi semuanya, sebelum berkahwin dengan Thukul; dia telah siap! Siap menjadi isteri kepada Thukul dan menghadapi apa saja kemungkinan terjadi.

Bicara Ibu Sipon lagi, dia tidak pernah menyesal menjadi isteri Thukul, malah bangga walaupun terbeban dengan pelbagai cabaran dugaan dalam meneruskan kehidupan.

Semangat Puisi Menolak Patuh dari Thukul itu tergambar ada pada dirinya. Ruang tamunya masih tergantung lukisan lama wajah Thukul yang dilukisnya sendiri di samping selonggok t-shirt tercetak puisi-puisi Thukul dalam fasa melawan lupa dengan kejadian yang menimpa suami yang dicintai..