Berita

Isu Israel: Sesat dalam ‘hutan politik’ Malaysia, MCA ikut telunjuk UMNO dan PAS

 

KUALA LUMPUR 4 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA terikut-ikut gelagat penipuan yang didalangi UMNO dan PAS dalam isu memfitnah DAP berkaitan isu Israel.

“Kasihan MCA, tidak relevan dan sesat dalam ‘hutan politik’ Malaysia sehingga mengikut telunjuk ‘penipu’,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara sinis pada kenyataan media, hari ini.

Menyifatkan melayan tuduhan basi itu sebagai membuang masa, beliau berkata MCA, parti yang tidak memiliki majaroti undi ahlinya sendiri pada pilihan raya lalu, terjerumus dalam tuduhan tidak berasas itu.

Katanya, dakwaan sedemikian hanya isu lama yang terbukti tidak benar dan berunsur fitnah tetapi dibangkitkan semula kebelakangan ini, bagi memburuk-burukkan DAP demi meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam.

Sebelum ini, Pengarah Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa kononnya DAP ditawar sejumlah dana dan sebagai balasan, akan membina sebuah pangkalan tentera Israel di Port Dickson jika menawan Putrajaya pada pilihan raya lalu.

Zuhdi membuat dakwaan itu berdasarkan paparan blog tulisan Mohamed Razali Abdul Rahman sebelum fitnah tersebar luas dan menjadi viral di media sosial.

Berikutan itu, DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana ahli politik yang melakukan fitnah demikian kerana ia menjejaskan reputasi parti itu yang tidak pernah menyokong kezaliman regim Israel.

Kit Siang berkata, polis pasti akan melakukan siasatan sejak empat tahun lalu jika dakwaan itu benar-benar berasas dan menyifatkan mereka yang mengitar semula fitnah itu, umpama cuba mempersoal kredibiliti pihak berkuasa.

“Sesiapa yang sangat terdesak dan cuba membangkitkan kembali tuduhan tidak berasas itu seakan-akan mengatakan polis cuai dalam melaksanakan tugasnya,” katanya sambil menegaskan, fitnah itu tidak harus diberi perhatian kerana berniat jahat dan sudah basi.

Selain itu, beliau berkata, Razali tidak pernah ada kaitan dengan Lim Guan Eng, apatah lagi menjadi Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Apabila seseorang menipu jawatannya, mengaku jadi Pegawai Khas Ketua Menteri padahal ia satu penipuan, kita boleh bayangkan sama ada beliau boleh dipercayai ataupun tidak apabila membuat tuduhan gila seperti itu,” kata Kit Siang.

Beliau juga menyifatkan Pengerusi Pakatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pro-BN, Zulkarnain Mahdar yang mencadangkan DAP menyaman Razali, sebagai tiada kredibiti berikutan membuat kenyataan berasaskan penipuan.

“Kenyataan NGO itu membuktikan lagi organisasi itu tidak harus diberi perhatian kerana mengangkat penipuan sebagai kebenaran, tidak patut buang masa dengannya,” kata beliau. -Roketkini.com