Berita

Peniaga Bumiputera Mara Digital Mall bakal dibeban syarikat tunggal orang tengah

PETALING JAYA, 7 JAN: Tindakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri memaksa peniaga-peniaga Bumiputera di pusat membeli-belah Mara Digital Mall, Kuala Lumpur berurus niaga dengan pengedar tunggal atau orang tengah WGN Scan Sdn Bhd dijangka membawa kerugian besar kepada usahawan-usahawan tersebut.

Niat Ismail yang mahu “membantu” peniaga-peniaga Bumiputera tersebut sebaliknya akan membebankan mereka pula kerana semua produk yang dijual diwajibkan melalui WGN Scan sahaja.

Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Rajiv Rishyakaran, berkata dengan memperkenalkan urus niaga melalui orang tengah, ia akan meningkatkan kos, dan dalam industri teknologi maklumat (IT) yang sangat kompetitif, ia bakal menjejaskan semua peruncit di Mara Digital Mall.

“Pesaing mereka di Plaza Low Yat dan pusat IT lain akan mempunyai kelebihan kerana dapat memilih sumber daripada pembekal yang terbaik tanpa orang tengah yang diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing menjelaskan bahawa dalam keadaan kebanyakan rakyat menderita keperitan kos sara hidup yang meningkat, tindakan kerajaan memperkenalkan orang tengah akan mengurangkan peluang usahawan Bumiputera untuk berjaya.

Beliau menambah, tindakan itu membuktikan bahawa UMNO yang menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan persekutuan lebih mesra dengan kroni berbanding peniaga dan usahawan kecil Bumiputera.

Katanya, sebarang dasar tidak bijak yang mahu memaksa peniaga menjalankan urusniaga melalui orang tengah mesti dihapuskan dengan segera.

“Biarkan peruncit memilih pembekal yang terbaik untuk diri mereka sendiri. Jika mereka hendak memilih WGN Scan Sdn Bhd, mereka boleh. Itu hak mereka,

“Tetapi jika mereka mahu untuk didapatkan dari pengedar lain, terutamanya pengeluar rasmi produk yang dilantik oleh pembuat barang telekomunikasi, maka mereka harus diberi kebebasan tersebut,” tambah beliau.

Beberapa hari lalu, Ismail mengumumkan bahawa syarikat orang tengah tersebut telah dilantik bagi memastikan produk yang dijual di Mara Digital adalah tulen.

Dengan itu, semua peniaga di Mara Digital tidak dibenar mendapatkan produk lain walaupun barang tulen daripada pembekal dan pengeluar produk rasmi, selain daripada satu syarikat yang menjadi orang tengah yang dilantik oleh kerajaan. – Roketkini.com