Berita

PRU14 bukan isu Melayu lawan Cina, ia penentu nasib Najib dan UMNO

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Pilihanraya umum akan datang tidak akan menjadi medan “Melayu lawan Cina” kerana orang Melayu mustahil hilang kuasa, sebaliknya ia penentu sama ada Najib Razak dan pemimpin UMNO akan terus memesongkan minda rakyat demi skandal ekonomi dan salahguna kuasa golongan elit.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang,  berkata inilah yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan dalam usaha membentuk kerajaan pusat baru yang benar-benar menjaga kepentingan dan keperluan rakyat.

Katanya, kerajaan persekutuan Pakatan Harapan akan bersaing dengan UMNO-Barisan Nasional untuk menunjukkan siapa yang paling jujur, sanggup dan berani mempertahankan ciri-ciri asas Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Pakatan juga mahu “bertanding” dengan UMNO BN untuk membuktikan siapa yang benar-benar menjaga hak dan kepentingan rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, atau Orang Asli.

“Persoalan sama ada orang Melayu atau mana-mana masyarakat akan kehilangan hak politik, atau Melayu dan Islam akan terancam, tidak timbul sama sekali.

“Ini kerana kerajaan pusat Pakatan Harapan tidak mahu menjadi kerajaan satu penggal tetapi mahu meneruskan usaha mendapatkan mandat dalam PRU seterusnya nagi mentadbir Malaysia kerana kita telah membuktikan bahawa kita dapat menjaga hak dan kepentingan rakyat pelbagai kaum, agama dan wilayah dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataannya itu adalah intipati ucapan beliau di majlis pelancaran buku “Time Bombs in Malaysia” edisi Bahasa Mandarin di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini malam tadi. Buku itu adalah koleksi tulisan politik KIt Siang yang diterbitkan pada 1978.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, penubuhan Parti Amanah Negara dan pembentukan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah telah berjaya mengisi kekosongan keadaan masa kini yang seolah-olah tiada harapan lagi untuk perubahan politik di bawah pemerintahan Najib.

Namun, beliau mengingatkan bahawa perubahan politik dalam PRU14 nanti tidak akan menjadi sesuatu yang mudah kerana pakar-pakar strategi Najib sedang berusaha keras untuk menggambarkan suasana palsu kononnya PRU akan datang adalah demi masa depan Melayu dan Islam, iaitu mengaitkan Najib sebagai pemimpin orang Melayu dan Islam.

Beliau menjelaskan, strategi itu hanya sekadar mahu menyelamatkan Najib dan konco-konconya, dan tidak ada kena-mengena dengan nasib dan masa depan orang Melayu yang sudah lama hidup bersama dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. – Roketkini.com