Rencana

Terrorisme, fanatisme akibat doktrin pandangan sempit

BIRO Hal Ehwal Antarabangsa DAP  mengutuk insiden pengeboman yang berlaku di Jakarta, Indonesia pada tanggal 14hb Januari 2016, yang mengakibatkan kematian dua orang awam dan lima pengganas terbabit.

Jurucakap pihak berkuasa Indonesia telahpun mengesahkan bahawa ISIS bertanggungjawab terhadap serangan ganas yang telah mereka rancangkan.

Serangan pengganas militan di Jakarta berlaku dua hari selepas insiden pengeboman di Istanbul, Turki membuktikan tanggapan selama ini amat ketara – betapa ancaman keganasan dan ekstrimis agama sudah mulai menyalar di negara kita dan langkah serta tindakan tegas perlu dilakukan kerajaan demi menyekat dan melindungi keselamatan negara dari ancaman ini.

Keganasan dan fahaman fanatisme ini merupakan suatu gelaja global berbahaya yang kini  menjalar ke hampir seluruh pelusok rantau ini termasuk Malaysia. Pelakuan keganasan atas apa alasan sekali pun tidak bolek terima.

Kemusnahan infrastruktur, penderaan, pemancongan kepala, menghasut keganasan,membunuh dan mencedera insan-insan yang tidak berdosa adalah perbuatan zalim yang ditunjulkan pengikut dan penyokong ISIS.

ISIS menyebarkan kefahaman agama Islam mereka yang terpesong melalui jihad dan menggalakkan pengikut mereka melakukan keganasan yang mencabuli hak asasi manusia. Ideologi dan nilai-nilai yang dipegang mereka mengancam asas demokrasi.  Kumpulan seperti ISIS ada satu persamaan – mereka dirangsang oleh pandangan sempit, tiada toleransi terhadap nilai universal, hidup berdamai dan aman dengan penganut agama lain.

Tidak seperti ISIS yang ekstrimis, umat Islam umumnya patuh kepada Allah, mengamal hidup berdamai, saling membantu dan bermaaf-maafan bukan saja sesama sendiri tapi juga dengan penganut agama lain. Yang dilakukankan ISIS tidak lain dan tidak bukan semata-mata terrorisme.

Golongan ini tidak mampu memahami dan menangani fenomena diversiti serta memahami kompleksiti masyarakat modern kini. Mereka terhanyut dalam tanggapan bahawa agama dan radikalisme itu sealiran dengan kehendak abad ke 21.

Sebenarnya – ekstrimisme membiak di kawasan yang penduduknya hidup dalam kejahilan, diugut dan dinafikan segala hak mereka. Keganasan tiada ruang dalam demokrasi dan kita, sebagai ahli dalam komuniti global harus bangkit dan bertindak menentang dan membendung kebangkitan ekstrimisme ini.

Hak kemanusiaan wujud demi menjamin kesejahteraan hidup manusia sejagat. Kewujudannya untuk menjamin supaya masyarakat patuh kepada perilaku dan mengelak daripada amalan negatif dan tidak bermoral.

Kita harus menunjukkan kepada militan itu betapa kita bukan saja menolak tindakan mereka, bahkan kita juga tidak gentar dengan mereka, malah kita harus bersatu dan menunjukkan kesetiakawanan bersama rakan serumpun kita di Indonesia.

Bagi mereka yang mencetus huru-hara dan keganasan berdasarkan kefahaman sempit doktrin agama, mereka sebenarnya terpesong dari ajaran agama sebenar.

#KamiTidakTakut

 

* Syerleena Abdul Rashid ialah Setiausaha Eksekutif Biro Hal Ehwal Antarabangsa DAP Malaysia