Berita

Sokong titah Sultan Johor tolak unsur perkauman kes pergaduhan sekolah

KUALA LUMPUR 16 JAN: Pakatan Harapan menyifatkan tindakan pihak tertentu mengaitkan kejadian pergaduhan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pai Chee, Mersing, Johor dengan sentimen perkauman, hanya mengeruhkan keadaan.

Pada kenyataan media bersama Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Gan Peck Cheng; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim, mereka menganggap perbuatan mengaitkan sentimen itu sebagai pra-matang dan bersifat simplistik.

“Ia akan mengeruhkan lagi keadaan sebelum punca sebenar dari hasil siasatan lengkap dapat diperoleh,” kata kenyataan berkenaan, hari ini.

Sultan JohorKenyataan itu menyebut, Pakatan Harapan juga menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar  yang menolak unsur perkauman dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencetuskan ketegangan antara kaum tanpa pilih kasih.

“Sebelum sebarang tindakan atau kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak, maklumat tepat mesti diperoleh terlebih dahulu,” kata kenyataan itu yang turut menegaskan Pakatan Harapan mengambil berat kejadian itu.

“Saya tidak mahu mendengar apa-apa masalah mengenai perkauman di negeri ini. Setiap kaum seperti Cina, India adalah Bangsa Johor. Kita perlu menghormati satu sama lain,” titah baginda, dipetik.

Kenyataan sama juga menyatakan Pakatan Harapan Johor bersetuju supaya Pasukan Khas yang ditubuh Kementerian Pelajaran diberi masa untuk melengkapkan siasatan, selain memberi ruang sama kepada polis untuk menjalankan tugasnya.

“Hasil siasatan kedua-dua pihak itu diharap dapat mengenal pasti secara tepat punca kejadian dan tindakan tegas di sisi undang-undang diambil terhadap mereka yang didapati bersalah,” kata kenyataan berkenaan.