Berita

BN usah lepas tangan isu mahasiswa ikat perut

KUALA LUMPUR 18 JAN: KUALA LUMPUR 17 JAN: Kemelut mahasiswa terpaksa ikat perut akan berlarutan selagi tiada keazaman politik untuk melakukan perubahan terhadap sistem pengajian tinggi dengan mengambil kira kebajikan mahasiswa.

Bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sheikh Omar Ali, berkata dari kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan dasar, bukan memberi alasan ‘asal boleh’ yang tidak menyelesaikan pokok masalah.

sheikh omar aliBeliau bimbang tekanan ekonomi yang dihadapi  mahasiswa bukan sahaja berlaku di  kampus, bahkan mereka dijerut hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas tamat pengajian.

“Maklum balas terhadap isu mahasiswa melakukan pekerjaan sampingan sebagai fenomena biasa,  tidak membantu sama sekali bahkan reaksi itu bersifat naif,” katanya pada kenyataan media, semalam.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dilapor menyatakan isu berkenaan  tidak harus disensasi melalui media dan kerana beliau percaya ia tidak seteruk yang digambar.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor, Ahmad Anwar Asyraf, pula berkata Khairy tidak harus bersikap lepas tangan terhadap isu mahasiswa yang terpaksa ikat perut yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Sebaliknya, beliau menyarankan supaya Khairy patut turun ke akar masalah dan memahami punca masalah, seterusnya mencari jalan penyelesaian dan bukan sewenang-wenang menyalahkan mahasiswa.

“Takkan Khairy rela lihat mahasiswa makan mi segera? Mahukah dia melihat mereka terlibat dalam kancah penyakit sosial semata-mata mencari wang menyara hidup di universiti?

“Kementerian Belia dan Sukan juga perlu memainkan peranan. Daripada jadi menteri selfie dan buat program populis, lebih elok sediakan peruntukan untuk bantu mahasiswa,” katanya pada Roketkini.

ahmad anwar asyrafBeliau turut mempersoal kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu  yang tidak mahu mengakui kelemahan sendiri sebaliknya menuding jari kepada rakyat apabila menuduh mahasiswa tidak mengambil inisiatif untuk mengelak ‘kebuluran’.

“Inilah pemikiran tipikal menteri kita. Bukan saja mahasiswa tetapi ramai lagi dipaksa menyesuaikan diri dengan ekonomi sedangkan menteri kita, potong gaji 10 sen pun belum tentu  mahu.

“Sepatutnya, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif membantu mahasiswa kerana mereka dalam keadaan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ akibat dasar ekonomi keterlaluan kerajaan,” katanya.

Katanya, sebahagian besar pinjaman pendidikan digunakan untuk membiayai yuran pengajian, buku dan urusan akademik lain, jauh dari mencukupi bagi menampung perbelanjaan harian yang ‘mencanak’ akibat peningkatan harga barang ditambah kehadiran cukai GST.

“Saya cadangkan kerajaan membiayai mahasiswa menggunakan kupon khas untuk membeli makanan di pusat pengajian dan mengkaji kembali kadar yuran dan pinjaman pelajaran,” katanya. – Roketkini