Berita

Tengku Zulpuri ambil peranan Yang DiPertua MPT bantu peniaga tertindas

MENTAKAB 19 JAN: Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji terpaksa berperanan sebagai Yang DiPertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) demi memperjuang hak 30 peniaga kecil di sini yang ditamatkan tempoh sewaan gerai.

Ia berikutan beliau mengatur pertemuan dengan pemilik baharu bagi membantu peniaga yang sebahagiannya orang Melayu itu ekoran MPT tiada jalan penyelesaian atas alasan jawatan Yang DiPertua kosong.

“Saya berbincang dengan pemilik baharu tentang syarat dikenakan mereka bagi mengambil kira keprihatinan terhadap peniaga yang dilanda kegelisahan kerana dipaksa menamatkan sewaan mereka sejak bulan lepas.

“Malah, kami mengumpul tandatangan untuk petisyen membantah keputusan MPT memberi notis tanpa berbincang terlebih dahulu tetapi tidak ada apa-apa tindakan,” katanya kepada Roketkini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab itu berkata, peniaga lama juga melakukan pelbagai cara untuk mendapat perhatian MPT termasuk berjumpa ahli majlis mahupun menggunakan saluran parti tetapi tidak berhasil.

Sebelum ini, kira-kira 30 peniaga kecil di gerai Stesen Bas Mentakab menerima notis penamatan sewaan secara mengejut dari MPT bertarikh 16 Disember tahun lalu hingga menimbulkan kebimbangan mereka.

Masalah seumpama itu dapat dielak jika Pilihanraya Kerajaan Tempatan dikembalikan supaya kebajikan rakyat terpelihara dan kepentingan penduduk diutamakan berikutan ahli majlis sedia ada dipilih secara lantikan dan mungkin ada kepentingan tertentu.

MPT juga, kata Tengku Zulpuri, memberi alasan ketiadaan Yang DiPertua (YDP) untuk menangguh pertemuan bersama antara majlis perbandaran itu, pemilik baharu dan peniaga sedangkan ahli MPT sebenarnya boleh mengadakan mesyuarat khas tanpa YDP.

“Mengikut seksyen 25 Akta Kerajaan Tempatan 171, ahli majlis boleh memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi pengerusi mesyuarat jika tiada YDP,” katanya.

Beliau berkata Pemangku YDP merangkap Pegawai Daerah, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali baru dilantik, maka 24 ahli majlis itu perlu memainkan peranan dalam menyelesai masalah rakyat dan bukan bersikap lepas tangan. -Roketkini.com