Berita

BTN: Najib patut jaga sensitiviti kepelbagaian kaum

KUALA LUMPUR 25 JAN: Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mesti menunjukkan sensitiviti terhadap kepelbagaian kaum dan agama di  Malaysia sebelum melakukan sebarang usaha berkaitan Biro Tata Negara (BTN).

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia berikutan pelbagai isu terjadi pada hari ini tidak melambangkan sensitiviti kerajaan tetapi lebih kepada bersifat perkauman dan mengundang kontroversi.

“Jika benar kerajaan Najib sensitif terhadap kepelbagaian kaum dan agama, ia tidak akan mengabaikan dasar 1Malaysia yang melahirkan rakyat dengan prinsip rakyat Malaysia dahulu dan kaum, agama, negeri atau kedudukan sosio-ekonomi kedua.

“Kenyataan Azalina mahu memperluas skop BTN dengan memperhalusi dan mengkaji silibusnya agar anak muda lebih sensitif adalah tidak menyakinkan,” katanya pada kenyataan media hari ini

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said membuat kenyataan Jawatankuasa penjenamaan semula BTN akan memperhalusi dan mengkaji sukatan BTN serta melihat aspek pengurusan persepsi khususnya dalam kalangan golongan muda.

Baru-baru ini, Kit Siang menggesa kerajaan Persekutuan memansuh BTN atau memulakan kajian agar ia dirombak sepenuhnya kerana sifatnya menggalakkan rasisme, ketaksuban dan ekstremisme sepanjang tiga dekad.

“Bukan sahaja BTN menelan wang cukai RM1.2 bilion sepanjang 30 tahun tetapi juga merencat pembinaan negara-bangsa Malaysia disebabkan peranannya memupuk perpecahan, rasisme dan ekstremisme.

“Justeru, saya menekankan sekali lagi BTN harus dimansuh dalam pengubahsuaian kepada Bajet 2016,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Malah, beliau berkata, penjawat awam kanan Melayu seperti G25 turut mengkritik BTN kerana menyebarkan “perkauman ultra-Melayu”, dan turut mendesak Najib memansuh BTN kerana bersifat antinasional.