Berita

DAP ulangi tolak TPPA, sanggah tuduhan perkauman Hadi

KUALA LUMPUR 25 JAN: DAP hari ini mengulangi penegasan pendirian mereka menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhuatiri memberi  pelbagai kesan negatif termasuk kenaikan harga dan penindasan terhadap golongan pekerja dan perniagaan kecil seperti Industri Kecil dan Sederhana (SME).

Ia sekaligus menyanggah kecaman tidak berasas, malah bersifat perkauman Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menjelang perhimpunan ‘Bantah TPPA’ dengan memberi gambaran salah mendakwa DAP menyokong TPPA atas alasan rapuh iaitu kononnya  orang Cina menguasai perdagangan di Malaysia.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada kenyataan media, berkata tuduhan berkenaan  menggambarkan PAS bukan sahaja bekerjasama dengan UMNO, malah mencontohi jejak langkah amalan politik kotor dan fitnah parti pemerintah itu.

“Kalau ikut logik Hadi, tentu UMNO juga adalah Cina kerana bawa usul TPPA di parlimen. Kenapa Hadi tidak terus bekerjasama dengan UMNO dan jadi penasihat kerajaan BN sahaja?” katanya sambil mengingatkan, TPPA diperkenal ke Malaysia oleh UMNO sendiri untuk mengekang pengaruh geo-politik negara China, bukannya DAP.

“Jika Hadi begitu anti kepada negara China, dia tak perlu bantah tetapi menyokong TPPA untuk menentang China,” katanya yang turut mempersoalkan mengapa Presiden PAS itu tidak langsung mengkritik UMNO.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, TPPA tidak tertumpu kepada mana-mana agama atau kaum sebaliknya ia mengenai kesan besar yang bakal berlaku ke atas 30 juta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban bimbang dengan kenaikan kos sara hidup dan kegagalan dasar ekonomi BN. Rakyat Malaysia mahu kerajaan BN digantikan demi menyelamatkan negara, bersatu dalam hal ehwal ekonomi dan melawan rasuah.

“Mereka mahu sebuah alternatif ekonomi yang berdaya maju dan bukan dengan kenyataan tanpa asas yang mengarut atau tidak logik dan semata-mata bersandar kepada sentimen dan emosi/

“Rakyat mesti diyakinkan menikmati kehidupan yang lebih baik dibawah alternatif ekonomi yang baru menggantikan BN dan bukan menggantikan keadaan ekonomi yang tertekan seperti sekarang dengan sebuah negara yang muflis,” katanya sambil mencabar PAS untuk menentang BN melalui isu ekonomi dan prestasi ekonomi.