Berita

Kepentingan Melayu, Islam tak terancam tanpa UMNO

RAUB 25 JAN: Hanya kerajaan yang adil, bersih, saksama dan mendaulatkan undang-undang dapat melindungi seluruh kepentingan rakyat Malaysia termasuk orang Melayu dan bukannya melalui ketakutan serta kebimbangan yang dicetuskan pimpinan UMNO.

Malah, tindakan UMNO sebaliknya mencetuskan kebimbangan Melayu hanya akan dilihat seolah-olah cuba menghina dan memperbodohkan orang Melayu sendiri.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri melalui blognya, berkata tidak timbul soal ancaman terhadap kepentingan Melayu dan bumiputera, agama Islam dan institusi beraja kerana ia sudahpun termaktub dan dilindungi perlembagaan.

“UMNO gunakan isu-isu ini untuk menakutkan dan membodohkan orang Melayu. Bagaimana UMNO menjaga kepentingan Melayu?

“Adakah dengan mengajak orang Melayu bersengketa dengan bangsa lain? Dengan melagakan agama Islam dengan agama lain? Dengan mem-bulldoze dasar tapi melaksanakannya dengan lemah dan tidak cekap? Dengan menggunakan undang-undang menekan rakyat?” soalnya.

Katanya, perkara yang dekat dengan hati orang Melayu yang gagal diselesaikan UMNO hingga saat ini sepatutnya menjadi keutamaan dan bukan memperdaya dengan cuba menakut-nakutkan kaum itu dengan hegemoni perkauman sempit.

“Tabung Haji yang sehingga hari ini belum bayar dividen dan bonus, Felda yang sudah di FGV-kan dan meletakkan sengsara kepada peneroka, Felcra yang menjadikan Melayu si penghutang, Risda yang menyusahkan pekebun kecil dengan hutang, LKIM yang menyusahkan nelayan Melayu, FAMA yang jadi orang tengah, BERNAS yang menyengsarakan penanam padi.

“Tanah rizab Melayu yang dari tiga juta hektar hari ini tinggal 360,000 hektar. MARA kekurangan dana, dasar pendidikan yang menjadikan Melayu susah dapat kerja. Sepatutnya pemimpin UMNO beritahu kita bagaimana selesaikan ini supaya ketakutan dan kebimbangan orang Melayu dibendung,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan satu-satunya jalan selamat bagi orang Melayu ialah meletakkan harapan kepada sebuah kerajaan yang adil, saksama dan yang berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

Pada masa yang sama, kata Ariff, merujuk kepada statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, sokongan Melayu kepada UMNO mencatatkan penurunan mendadak sehingga 50 peratus.

“UMNO dan parti-parti komponennya hanya memperolehi 3.35 juta atau 48 peratus sahaja undi Melayu. Ertinya paling kuat, UMNO mendapat antara 48 hingga 50 peratus undi Melayu.”

Kata beliau, statistik ini menunjukkan kemerosotan yang sangat ketara kerana sebelum PRU13, orang Melayu yang menyokong UMNO umumnya sekitar 70 peratus.

“Ertinya sampai ke PRU13, sokongan Melayu kepada UMNO jatuh 20 peratus.

“Sebanyak 50 peratus Melayu sudah berani memutuskan pertalian dengan UMNO.  Golongan yang berani memutuskan tali uri mereka atau umbilical cord dengan UMNO sama ramai dengan yang mahu bergantung terus dengan UMNO,” kata beliau.