Rencana

PAS harus ambil iktibar salah langkah Parti Salafi An-Nour

Saya masih ingat detik-detik kebangkitan rakyat Mesir kira-kira lima tahun lalu.

Jutaan rakyat, dari segenap lapisan masyarakat, turun ke jalanan mendesak pengunduran Hosni Mubarak. Kebangkitan itu membawa suatu harapan baru, bukan saja kepada warga Mesir dan dunia Arab; bahkan penyokong kebebasan, keadilan dan demokrasi di seluruh pelusuk dunia.

Bahkan lagu-lagu Arab yang membangkitkan semangat para revolusioner seperti Tahya Masr (Hidup Mesir!), Higher dan Ya Biladiy (Wahai Negaraku), saya hafal dan ulang-ulang bait nya. Video-video tribut untuk para syuhada yang terkorban untuk menjatuhkan Mubarak diulang tonton, menimbulkan rasa sebak dan kagum.

Namun fast-forward lima tahun, Mesir sekarang jauh lebih teruk berbanding sebelumnya.

Revolusi yang pada mulanya menjanjikan segalanya, pada akhirnya tiada apa-apa yang berubah. Kegagalan faksi pembangkang – Ikhwanul Muslimin, liberal, sosialis – untuk bekerjasama dalam menentang saki baki regim Mubarak dan mengekalkan ‘Semangat Revolusi’ terbukti satu harga yang terlalu mahal untuk dibayar warga Mesir.

Gerakan counter-revolution sejak dari tercetusnya revolusi lagi telah menyusun langkah untuk mengembalikan semula status quo melalui aparatus negara yang masih setia dengan regim Mubarak termasuklah media, tentera, polis, mahkamah dan syarikat perniagaan.

Tokoh-tokoh pembangkang dan gerakan sivil yang diharapkan mampu bertindak selaku benteng demokrasi Mesir — Amr Moussa, bekas setiausaha Liga Arab, Mohamad Elbaradei, bekas ketua pengarah agensi atom antarabangsa dan tokoh popular sosialis Hamdeen Sabahi — semuanya diam membisu apabila demokrasi Mesir dicabul oleh tentera dan mahkamah dalam rampasan kuasa ke atas Morsi.

Mengikut laporan, sejak 25 Januari 2011, tarikh tercetusnya revolusi itu, pihak berkuasa memenjarakan kira-kira 40,000 orang manakala kira-kira 2,500 orang dibunuh/terbunuh. Parti politik pembangkang diharam dan paling terkesan, pastinya Ikhwanul Muslimin yang lebih 500 aktivisnya dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah.

Demokrasi yang mati, harga barang dan kos hidup melambung tinggi, keselamatan tidak dinikmati, maruah dan harga diri dicabuli, masa depan yang tidak pasti.

 

Pelan DemokraSisi

Generalissimo Abdel Fattah as-Sisi, ketua interim de-facto kerajaan kudeta, dalam usaha mendemokratikkan pemerintahannya, mengusulkan pilihanraya presiden dan parlimen. Pilihan raya Presiden menghasilkan keputusan yang sudah dijangka; Sisi selaku calon rasmi kerajaan interim, memenangi 95 peratus undi. Hamdeen Sabahi sebagai satu-satunya calon yang melawan, memperoleh jumlah undi yang setara dengan jumlah undi rosak.

Keputusan itu pasti mengimbau kembali pilihan raya zaman Mubarak apabila pemerintah kebiasaannya memperoleh undi sehingga 98 peratus. Dan antara yang menjadi keutamaan Sisi ialah mengukuhkan cengkamannya; undang-undang sedang dirangka untuk memanjangkan tempoh pemerintahan presiden daripada empat kepada enam tahun dan menghapuskan two-terms limit untuk seseorang presiden.

Mesir tidak ada institusi parlimen sejak Mahkamah Perlembagaan Mesir menghakiminya sebagai tidak sah pada 2012, di tengah-tengah krisis pemerintahan Morsi. Untuk melengkapkan pelan demokraSisi, sebuah parlimen rubber stamp dibentuk dalam satu pilihan raya yang dirangka untuk memenangkan calon pilihan Sisi.

Badan legislatif yang mempunyai 596 kerusi itu dianggotai rata-rata ahli parti yang pro-Sisi, figur utama regim Mubarak dan usahawan elitis berkepentingan. Parlimen itu sedia untuk meluluskan secara rasmi lebih 300 undang-undang yang dikeluarkan oleh Sisi sebelum itu.

Beberapa penganalisis politik meramal, sebuah lagi revolusi bakal mengambil tempat. ‘It’s a matter of time, not if’, tulis Mohamad Elmasry dalam artikelnya ‘Another Arab Spring is coming to Egypt’. Dengan tekanan demi tekanan, tidak mustahil rakyat Mesir akan kembali ke jalanraya menuntut kembali maruah mereka. Hanya masa yang akan menentukan.

 

Pelajaran untuk Malaysia

Satu fenomena menarik yang melatari kebangkitan rakyat Mesir ialah kemunculan Parti Salafi An-Nour. Lebih menarik, perkara yang menimpa parti itu dan jalan yang ditempuhnya ada persamaan dengan PAS.

Dengan menyokong coup d’etat pada 2013 pimpinan Jeneral as-Sisi ke atas Mohamad Morsi, Presiden Mesir yang sah, mereka berharap akan diberi ruang lebih luas dalam arena politik Mesir sebagai satu-satunya kelompok Islamis yang terselamat daripada pengharaman, penangkapan dan hukuman bunuh. Sebelumnya, mereka lebih melihat Ikhwanul Muslimin dan FJP sebagai musuh berbanding rakan, dan ingin mendominasi gelanggang politik Mesir.

Dan mirip dengan kemunculan Parti Amanah Negara sebagai serpihan daripada PAS, Parti al-Watan muncul daripada Parti Nour selepas berlakunya konflik dalaman dan persengketaan berkenaan strategi dan hala tuju politik parti; membawa bersama 20 orang Ahli Parlimen dengan pendekatan politik baru.

Parti baru ini mengambil sikap inklusif dengan bekerjasama dengan fraksi salafi lain yang lebih moderat, non-salafis, non-Islamis dan non-Muslim; kemudiannya berpendirian menentang coup d’etat Sisi ke atas Morsi dan menerima nasib yang serupa dengan Ikhwanul Muslimin, diharamkan.

Parti Nour yang sebelumnya memenangi 112 kerusi parlimen pasca kejatuhan Mubarak, kini hanya tinggal 11 kerusi pada era diktator As-Sisi, dalam parlimen yang dikuasai kelompok pemerintah kuku besi tersebut. Daripada parti dominan yang memguasai 25 peratus kerusi parlimen, kini melukut di tepi gantang. PAS harus belajar sesuatu dari situasi ini.

PAS dengan kenyataan jinak-jinak dan manja-manja dengan UMNO (sebagai contoh: mustahil duit RM2.6 bilion masuk dalam akaun peribadi dan PAS bebas untuk bekerjasama dengan UMNO), sedang memperjudikan nasibnya sendiri. Kemungkinan PAS berasa terancam dengan kebangkitan gelombang Islamisme demokrat dan gerakan sivil, yang berpotensi mengurangkan pengaruhnya dalam kalangan rakyat.

Lantaran sedar akan ketidakmampuan menyesuaikan diri dalam Politik Baru yang mementingkan nilai berbanding rupa bentuk, good governance dan keadilan sosial; mereka terpaksa beralih arah kepada Politik Lama yang penuh dengan sentimen perkauman-keagamaan sempit dan eksklusiviti.

PAS masih belum memutuskan secara jelas apa pendirian mereka untuk pilihan raya akan datang. Ingin bersama Pakatan Harapan, the damage is already done and beyond repair. Ingin bersama UMNO, nampaknya mereka juga kritikal dalam banyak isu seperti TPPA dan GST.

Sebagai parti politik, PAS perlu memikirkan masa depannya di peti undi secara serius. Jujurlah, tiada parti politik yang hanya mahu keredhaan Allah dan tak mahu menang. Quo vadis, PAS?

 

* Luqman Tarmizi, ahli siswa progresif, mahasiswa tahun tiga Fiqh dan Fatwa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian DAP