Berita

DAP desak Apandi dedah kertas siasatan SPRM

KUALA LUMPUR 27 JAN: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali digesa mendedah kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung derma RM2.6 billion dan skandal SRC Internasional Sdn Bhd untuk penelitian umum.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata langkah itu wajar diambil Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji yang baru itu untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak benar-benar tidak bersalah dalam kedua-dua kes berkenaan seperti yang didakwa Apandi.

“Ia kaedah terbaik untuk Apandi mempertahan integriti Najib kerana masih ada soalan yang tidak berjawab,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Semalam, Apandi membuat kenyataan Najib tidak melakukan kesalahan dalam skandal derma RM2.6 bilion atas alasan sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013, lalu mengarahkan kertas siasatan ditutup.

Bagaimanapun, pelbagai lapisan rakyat tidak dapat menerima penjelasan itu berikutan tiada bukti kukuh selain wujud konflik kepentingan berikutan pendedahan Apandi pula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu turut hairan berikutan keputusan Apandi yang disifatkannya bercanggah sekaligus mengundang pelbagai persoalan yang harus dijawab segera.

“Walaupun Najib tidak tahu atau tidak dimaklumkan mengenai dana SRC dimasukkan ke akaunnya, kita tidak tahu mengapa syarikat milik penuh Kementerian Kewangan mendeposit RM42 juta ke akaun Najib.

“Selain itu, Apandi menyatakan Najib memulangkan US$620 juta dari US$681 juta yang disalur ke akaunnya kononnya untuk derma politik tetapi bagaimana dengan dana SRC itu? Adakah ia dipulangkan juga? Jika tidak, di mana wang itu kini?

“Sehingga semua soalan dijawab tanpa wujudnya kesamaran, skandal derma itu akan menghantui Najib dan Apandi kerana kita semua rakyat Malaysia, tidak bodoh,” katanya. -Roketkini.com