Berita

DAP cadang audit menyeluruh kewangan Tabung Haji

KUALA LUMPUR 28 JAN: DAP hari ini mencadangkan supaya audit menyeluruh & telus ke atas penyata kewangan Tabung Haji yang mengalami kerugian RM351 juta, dijalankan segera bagi menjamin hak pendeposit institusi berkenaan.

Timbalan Bendahari Agong DAP, Nga Kor Ming berkata, audit yang telus wajib dibuat untuk menjamin supaya wang simpanan lapan juta umat Islam di Tabung Haji terjamin dan tidak terjejas.

Pada kenyataan media hari ini, beliau berkata, ia berikutan penyata kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 menunjukkan rizab terkumpul negatif iaitu kerugian terkumpul RM351 juta.

“Dengan kata lain, jika pendeposit mahu mengambil kembali simpanan RM54.358 bilion, semua aset Tabung Haji tidak cukup untuk membayar simpanan kerana kekurangan dana RM351 juta.

“DAP berasa tindakan segera perlu diambil sebelum Tabung Haji menanggung kerugian lebih besar dan satu audit penuh yang telus perlu demi menjamin hak pendeposit,” kata Ahli Parlimen Taiping itu.

Beliau merujuk kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengesahkan menghantar notis nasihat kepada Lembaga Tabung Haji mengenai amalan pengurusan risikonya.

Ia berikutan dokumen yang bocor itu dikatakan memperincikan nasihat oleh bank pusat kepada Tabung Haji mengenai penyusutan rizabnya dan nilai pelaburannya yang merosot.

Lebih serius, Kor Ming berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) ada memberi amaran menerusi surat berhubung aset lebih rendah daripada liabilitinya iaitu 98 sen aset berbanding dengan RM1 liabiliti.

Katanya, kerajaan digesa menubuh jawatankuasa khas yang berkecuali untuk menjalankan audit penuh dan jawatankuasa itu perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan laporan audit itu perlu dibentang kepada Dewan Rakyat untuk diperiksa.