Berita

Abai kanak-kanak jalanan punca jenayah terancang di Sabah

 

LIKAS 2 FEB: Kerajaan Sabah digesa menubuh sebuah jawatankuasa mengkaji kesan pengabaian kanak-kanak jalanan tanpa kerakyatan yang dilihat berpotensi menyumbang kepada perbuatan jenayah yang mengancam masyarakat sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Junz Wong, berkata ia berikutan pendedahan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra baru-baru ini yang menyatakan kebanyakan jenayah masa ini dirancang mereka yang pernah menjadi kanak-kanak jalanan.

Beliau berkata,“Kita tidak tahu sekarang sudah berapa ramai kanak-kanak (stateless kid) ini. Tapi kita nak persoalkan apa tindakan konkrit yang kerajaan lakukan untuk selesaikan isu ini.

“Satu jawatankuasa khas perlu untuk mengkaji kesan dan penyelesaian terhadap isu kanak-kanak jalanan tanpa kerakyatan yang lama berlaku di Sabah,” katanya dan menambah, kerajaan tidak harus memandang ringan masalah itu kerana ia bakal membawa musibah pada masa depan.

Mengikut statistik Kementerian Pembangunan Komuniti dan Hal Ehwal Pengguna Sabah tahun lalu, terdapat 200,000 bilangan kanak-kanak jalanan di Sabah iaitu seramai 50,000 dari Filipina dan 150,000 (Indonesia).

Kata Junz, kanak-kanak jalanan apabila dewasa dan terlibat dalam tahu selok-belok bandar dan memudahkan mereka melakukan jenayah terancang termasuk mengenal pasti mangsa terlebih dahulu sebelum bertindak. – Roketkini.com