Berita

Guan Eng gesa ahli politik Kedah hormati protokol institusi istana

GEORGETOWN 2 FEB: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta semua pihak yang terbabit dalam pergolakan politik di Kedah supaya menghormati institusi istana termasuk mematuhi protokolnya.

Meminta semua pihak menghormati proses protokol pelantikan Menteri Besar Kedah, beliau berkata, Jemaah Diraja Kedah ada hak mutlak dalam mesyuarat berkaitan isu berkenaan dan enggan membuat spekulasi berhubung hal itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengulangi pendirian DAP yang berpandangan isu pelantikan Menteri Besar Kedah harus diselesaikan secara demokratik.

“Saya tak mahu buat spekulasi kerana ini hak mutlak Jemaah Diraja dan kita kena hormati hak istana. Kita kena hormati protokol itu. Saya tidak hendak buat spekulasi,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai pergolakan politik di Kedah pada satu sidang media di pejabatnya, hari ini.

“Saya tak mahu buat sebarang andaian kerana ini isu besar melibatkan pelantikan seorang Menteri Besar,” katanya. -Roketkini.com