Berita

Poster Najib ‘muka badut’ tidak jejas keselamatan negara

KUALA LUMPUR 3 FEB: Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Young Syefura Othman hari ini mempersoal tindakan amaran terhadap penghasilan dan penyebaran poster Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ‘bermuka badut’ di media sosial, mampu menggugat keselamatan dan keamanan negara.

“Adakah benar ‘posting’ itu menggugat keamanan serta kesejahteraan rakyat? Sehingga kini tiada kekecohan berlaku dalam negara, apatah lagi pemimpin yang korup masih berkuasa dan makin berkuasa,” katanya.

Beliau bimbang tindakan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) memantau aktiviti pengguna laman sosial sebagai menanam ketakutan sekaligus menyekat kebebasan bersuara melalui gertakan kepada rakyat yang lantang dalam isu negara.

“Jika benar penubuhan PCIRC untuk membantu siasatan siber, tidak perlulah ia disalah guna dan membuat provokasi terhadap pengguna media sosial dengan teguran dan amaran keras sebegitu rupa,” katanya kepada Roketkini.

Beliau mengulas tindakan PCIRC memberi amaran kepada aktivis, Fahmi Reza berhubung paparan grafik pada 31 Januari lalu yang memapar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak ‘bermuka badut’ dengan ungkapan ‘Kita semua penghasut’.

Berikutan tindakan PCIRC itu lebih banyak paparan grafik baru dihasilkan dan disebar luas melalui media sosial sebagai sokongan kepada kritikan terhadap Akta Hasutan yang dipercayai motif  paparan grafik.  

Beliau yang mesra dikenali sebagai Rara melabel perbuatan PCIRC itu sebagai melanggar hak ruang peribadi awam sekaligus menyimpang dari tugas sebenar polis yang terhad kepada mengawal ruang awam sahaja.

“Jika sebelum ini, polis menjadi penguat kuasa undang-undang dan hanya menjalankan siasatan jika ada laporan dibuat terhadap sesuatu ‘posting’ tetapi kini berbeza, mereka seolah-olah mahu cari salah rakyat,” katanya.