Berita

Tunjuk perasaan di rumah terbuka Pulau Pinang tidak bertamadun dan bersifat perkauman

GEORGE TOWN, 10 FEB: Pejabat Peguam Negara diminta menyiasat sekumpulan individu yang menamakan diri mereka Persatuan Muka Buku Pulau Pinang kerana mengadakan tunjuk perasaan berbaur perkauman.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata kumpulan itu telah mencemarkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang dengan mengadakan demonstrasi itu pada hari pertama perayaan tersebut.

Beliau berkata, tindakan kumpulan itu tidak bertamadun, bersifat kurang ajar dan menghasut perkauman.

Katanya, Pejabat Peguam Negara perlu menyiasat kumpulan tersebut yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan yang bertentangan dengan semangat Malaysia majmuk.

Majlis rumah terbuka itu pada hari pertama Tahun Baru Cina kelmarin anjuran Ketua Menteri, Lim Guan Eng, di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Pulau Pinang (sPICE) telah dihadiri lebih 15,000 orang.

Hon Wai yang Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang berkata, para penunjuk perasaan membawa placard yang mendakwa DAP menerima RM1.2 bilion dari Israel sedangkan tuduhan itu adalah palsu dan berniat jahat.

Jelasnya, DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang telah berulangkali menafikan fitnah jahat tersebut.

“Saya berasa risau terhadap kad yang dipegang oleh seorang penunjuk perasaan yang berbunyi “Tumbangkan DAP adalah jihad!!!!”. Ini adalah jelas mengapi-apikan sentimen keagamaan untuk mencapai agenda tersembunyi Persatuan Muka Buku Pulau Pinang dan bos politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam berkata, kumpulan penunjuk perasaan itu memilih hari pertama Tahun Baru Cina untuk menyebar fitnah tersebut kerana mereka mempunyai agenda tersembunyi bagi mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan.

Beliau mendakwa, mereka berbuat demikian untuk mengalih perhatian rakyat daripada skandal Perdana Menteri yang dikatakan melibatkan wang “derma RM2.6 bilion serta skandal berpuluh billion ringgit 1MDB.

Menurutnya, Persatuan Muka Buku juga pernah menghina rakyat Sabah dan Sarawak di Pulau Pinang dengan membantah Pesta Gawai dan Kaamatan anjuran kerajaan negeri pada tahun sebelumnya.

“Mereka menggunakan pelbagai sentimen perkauman dan keagamaan untuk meminta Kerajaan Negeri membatalkan pesta tersebut. Tetapi, pada realitinya, Pesta Gawai dan Kaamatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dihadiri lebih 5,000 orang yang kebanyakannya rakyat Malaysia dari Sarawak dan Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang adalah satu-satunya pentadbiran negeri yang menganjurkan Pesta Gawai dan Kaamatan di Semenanjung Malaysia.

Ini menunjukkan semangat Malaysia yang tulen dan sebenar serta bersifat inklusif, tambah beliau. – Roketkini.com