Berita

Potong pampasan guru hamil, kerajaan pandang remeh diskriminasi gender

PULAU PINANG 22 FEB: Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengurangkan 90 peratus jumlah ganti rugi perlu dibayar kerajaan Persekutuan kepada Noorfadilla Ahmad Saikin yang dipecat sebagai guru kerana hamil membuktikan kerajaan tidak serius menghapuskan diskriminasi gender.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata pampasan itu tidak patut dipotong kerana ia harus mencerminkan betapa seriusnya perbuatan mendiskriminasi wanita hamil agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Jumlah pampasan perlu sejajar dengan kesalahan dilakukan, terutama apabila ia melibatkan kepentingan dan kesan kepada orang ramai seperti diputuskan dalam kes Peguam Negara Trinidad dan Tobago v. Ramanoop.

“Justeru, pemotongan itu berisiko memberi ‘isyarat’ kepada orang ramai bahawa kes diskiriminasi gender, terutama diskriminasi kehamilan seperti itu tidak serius,” katanya pada kenyataan media.

Steven mengulas tindakan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengurangkan jumlah pampasan ganti rugi perlu dibayar kerajaan kepada Noorfadilla dari RM300 ribu kepada RM30 ribu Rabu lalu berikutan pemecatannya sebagai guru pada 2010 hanya kerana beliau mengandung.

Katanya, mahkamah patut mengambil kesempatan itu untuk menarik perhatian rakyat tentang betapa seriusnya menghapuskan diskriminasi gender dan menegakkan hak-hak wanita, namun bertindak sebaliknya.

“Kehamilan bukan sekadar perkara peribadi, tetapi berkait dengan masyarakat. Kerajaan perlu memastikan perlindungan sosio-ekonomi wanita mengandung.

“Oleh itu, diskriminasi dilakukan kerajaan Persekutuan terhadap wanita hamil seperti itu langsung tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi ia merupakan badan menjaga undang-undang. Pemotongan itu tidak wajar,” katanya.

Menurutnya, penginstitusian diskriminasi gender dalam kerajaan akan menyukarkan penghapusan ketidakadilan terhadap wanita yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat, terutama dalam sektor pekerjaan dan kehidupan umum.

“Kita hidup dalam masyarakat yang masih mendiskriminasi wanita, dengan purata seorang wanita menjadi mangsa rogol setiap 15 minit.

“Salah satu sebab mengapa ketidakadilan itu wujud adalah kerana penginstitusian diskriminasi gender dalam kerajaan itu sendiri – dari jenaka seksis di Parlimen hinggalah keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada wanita seperti ini,” katanya.

Beliau menambah, jika kerajaan serius untuk mencapai kesaksamaan jantina, ia perlu membetulkan keadaan dengan memperkenalkan larangan diskriminasi kehamilan dalam pekerjaan, bermula dengan perkhidmatan awam. -Roketkini.com