Berita

Isu JPA: Sudahlah tak dapat belajar luar negara, biasiswa pula ditukar jadi pinjaman

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Semua biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun 2016 ditukar kepada pinjaman boleh ubah, berbeza dengan keputusan pengecilan bajet 2016 Januari lalu yang hanya menyentuh penajaan biasiswa kepada pembelajaran dalam negara.

Kecewa dengan model baharu penajaan JPA itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan Persekutuan bersikap tidak jujur dan tidak adil terhadap mahasiswa yang menerima tawaran biasiswa JPA sebelum ini.

“Mahasiswa bukan sahaja tidak dapat belajar luar negara tetapi biasiswa JPA pula ditukar kepada pinjaman,”” katanya merujuk pengumuman model baharu penajaan JPA di laman sesawangnya,mahasiswa diberi tiga mekanisme perjanjian pinjaman.

Pertama, mahasiswa tidak perlu membuat bayaran balik jika berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Kedua, graduan dikehendaki membayar balik 50 peratus pinjaman jika memilih untuk bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketiga, graduan dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman jika tidak memilih untuk berkhidmat dengan sektor awam mahupun GLC.

Anthony Loke juga mempersoal sama ada kerajaan mahupun syarikat GLC mempunyai jumlah perjawatan yang mencukupi bagi semua graduan JPA.

“Adakah kerajaan mampu menyerap 11,000 pelajar JPA dalam perkhidmatan awam, lebih-lebih lagi bilangan perjawatan sudah ditetapkan. Berapa peratuskah mereka misalnya mahasiswa dari luar negara mendapat tawaran bekerja dalam sektor awam?

“Bagaimana pula dengan mahasiswa yang mahu bekerja dalam sektor awam tetapi kerajaan tidak ada jawatan untuk ditawarkan? Adakah selepas ini kerajaan mahu tawarkan lebih jawatan?” katanya.

Merujuk kepada laporan media yang menyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong terkejut dan tidak menyedari perubahan itu, beliau kesal berikutan isu itu tidak dibincangkan langsung di peringkat menteri,.

“Adakah ini bermaksud perubahan yang JPA buat ini langsung tak dibincangkan? Saya rasa tindakan ini amat tidak betul,” kata Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan itu kerana berpendapat sebarang perubahan dasar memerlukan perbincangan.

“Saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak arahkan JPA supaya tangguhkan dulu perlaksanaan model baharu mereka ini,” katanya. –Roketkini.com