Berita

Sekat portal berita naikkan kemarahan pengguna internet

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Ketakutan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap kesedaran rakyat semakin ketara melalui tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyekat portal berita The Malaysian Insider (TMI) petang semalam.

Portal yang banyak menyiar laporan skandal RM42 bilion 1MDB, skandal derma RM2.6 bilion, skandal Tabung Haji dan sebagainya dikenakan sekatan dengan alasan ‘melanggar undang-undang negara’.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh, berkata tindakan itu bertujuan menakut-nakutkan dan memberi tekanan ke atas media atas talian itu sebaliknya hanya akan meningkatkan kemarahan lebih banyak pihak.

“DAPSY kecewa dan kesal dengan tindakan menutup laman berita TMI dan ini jelas bertujuan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan bermaklumat.

“Ia hanya akan menyebabkan rakyat, khususnya pengguna internet marah, apapun kerajaan tetap tidak mampu untuk sekat maklumat daripada sampai kepada rakyat,” katanya kepada Roketkini.

Ini kerana, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning itu, berkata masih terdapat banyak medium atas talian lain yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat.

“Kerajaan tidak mampu sekat maklumat untuk sampai kepada rakyat kerana banyak medium lain seperti media sosial dan sebagainya.

“Kerajaan boleh sekat TMI atau media lain tetapi bagaimana mahu menyekat kesedaran rakyat yang sudah hilang kepercayaan terhadap BN,” katanya.

Semalam, SKMM mengakui mengarahkan syarikat pembekal internet menyekat akses kepada TMI tas alasan portal berita itu menyiarkan kandungan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 233 berkaitan “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian” yang antara lain bersifat “mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain”. –Roketkini.com