Berita

Sekat portal berita TMI: Apa yang cuba disorokkan?

KUALA LUMPUR 26 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengutuk keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat portal berita The Malaysian Insider (TMI) tanpa notis terlebih dahulu, malah menyifatkannya sebagai berlebih-lebihan.

“Kerajaan ada pelbagai undang-undang terhadap penyalahgunaan internet. Sekatan ke atas TMI tidak berasas terutama apabila portal berita itu tidak menerima apa-apa notis terlebih dahulu.

“Tindakan Najib berlebih-lebihan, seperti menggunakan tukul besi untuk memukul lalat. Rakyat Malaysia dan antarabangsa hanya boleh bertanya apa yang beliau cuba sembunyikan dengan berkelakuan begitu?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas tindakan SKMM mengarahkan syarikat pembekal internet menyekat akses kepada TMI atas alasan portal berita itu menyiarkan kandungan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, tiada notis dihantar kepada TMI mengenai pelanggaran undang-undang sebelum dikenakan sekatan semalam walaupun SKMM mengatakan tindakan itu atas sebab ‘keselamatan negara’.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, tindakan menyekat TMI itu melanggar Akta Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang ketujuh iaitu menjamin tiada penapisan Internet seperti dinyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Saya menggesa Perdana Menteri agar mematuhi dan menegakkan Akta Jaminan MSC itu dengan segera membatalkan sekatan berkenaan.

“Beliau harus menahan diri dari terburu-buru menuju ke arah ‘pemerintahan diktator parlimen’ seperti sebelum ini – menggubal akta Majlis Keselamatan negara (MKN) sehingga merampas kuasa perlembagaan Yang Di Pertuan Agong dengan membenarkan Perdana Menteri mengisytiharkan darurat,” katanya.

Sebelum ini, laman web Sarawak Report yang bertindak mengkritik kepimpinan Najib dan badan bukan kerajaan (NGO), Bersih.org yang menuntut pilihan raya bersih dan adil turut mengalami nasib sama sehingga disekat aksesnya di negara ini. -Roketkini.com