Berita

Sekat kursus PSM: Kerajaan digesa lebih terbuka rai debat pelbagai ideologi

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tindakan polis menyekat kursus kilat Marxisme anjuran Parti Sosialis Malaysia atas alasan cuba untuk menghidup atau menyebarkan fahaman komunis boleh menyebabkan lebih ramai orang ingin tahu tentang ideologi itu.

Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Rajiv Rishyakaran, berkata kerajaan seharusnya membenarkan wacana mengenai fahaman itu dibincangkan di khalayak umum, malah diperdebatkan jika benar terdapat unsur keganasan seperti yang didakwa polis itu.

Langkah itu, katanya, akan memberikan ruang kepada rakyat untuk menentukan apa yang betul dan sebaliknya, malah dapat memberi suntikan idea kepada mereka untuk memberikan kritikan dan saranan yang lebih baik.

Walaupun tidak bersetuju penuh dengan pandangan komunisme, beliau berkata, kerajaan yang berpaksikan amalan demokrasi seharusnya membenarkan perbincangan mengenai pelbagai ideologi sekaligus meraikan perbahasan berkaitannya.

“Kerajaan tidak sewajarnya menyekat perbahasan sedemikian, kerana ia bertentangan dengan amalan demokrasi yang menjadi tunjang negara ini,” katanya kepada Roketkini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kemas kini laman twitternya dilaporkan berkata pihaknya tidak akan membenarkan PSM untuk mengadakan kursus berkenaan yang dijadualkan pada 20 Mac di Petaling Jaya dan akan memanggil pihak penganjur untuk disiasat.

Mengulas dakwaan yang mengatakan PSM melalui penganjuran kursus terbabit cuba menghidupkan fahaman komunis dan anti-agama, Rajiv yang juga Adun Bukit Gasing berkata, walaupun beliau sendiri menolak komunisme, beliau menganggap tuduhan terhadap PSM itu sebagai tidak tepat.

Katanya, negara seperti Vietnam dan China yang mendokong fahaman komunisme tidak pula menyekat rakyatnya untuk menganut pelbagai agama, malah negara itu mengamalkan keterbukaan terhadap penganut fahaman agama.

“Justeru tidak timbul dakwaan kononnya PSM cuba bawa ideologi yang anti-agama, malah PSM tidak pernah bercadang pun untuk menentang sistem demokrasi di negara ini.

“Mereka cuma mahu laksanakan wacana mengenainya, pihak polis tidak sepatut menyekatnya,” tegasnya. – Roketkini.com