BAU, 2 MAC: Kehadiran DAP di pedalaman Sarawak untuk membina infrastruktur mudah seperti projek bekalan air dan jalan berturap telah mengejutkan kerajaan Barisan Nasional dari tidurnya yang selama ini meminggirkan nasib penduduk luar bandar.
Sehubungan itu, tindakan tergesa-gesa BN menabur janji kepada rakyat Sarawak dengan mengumumkan pelbagai peruntukan pembangunan infrastruktur, bantuan rumah panjang dan sebagainya hanyalah bertujuan untuk menang pilihanraya negeri akan datang.
Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, Mordi Bimol, BN Sarawak berasa tergugat apabila DAP semakin mendapat tempat di hati masyarakat khususnya yang berada di luar bandar, lebih-lebih lagi, wujudnya pertikaian dalaman BN Sarawak yang menyebabkan gabungan pemerintah negeri itu tidak stabil.
“Masyarakat melihat kita bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan tanpa mengira fahaman politik walaupun kita masih belum menang di sesebuah kawasan itu.
“Hasil usaha berterusan kita, penduduk kampung semakin menerima kehadiran kita dalam program-program yang dianjurkan DAP,” katanya kepada Roketkini.
Mordi berkata, rakyat luar bandar sudah masak dengan sikap BN yang sememangnya gemar menabur janji projek pembangunan menjelang pilihan raya.
Oleh itu, menurutnya, DAP Sarawak tidak bimbang dengan janji-janji manis BN kerana sedar bahawa penduduk luar bandar Sarawak juga semakin sedar kepalsuan janji-janji pilihanraya yang jarang ditunaikan.
Hakikatnya, masih ramai rakyat Sarawak di seluruh negeri khususnya di luar bandar terpinggir dan kekurangan kemudahan asas, tambah beliau.
“Sebagai contoh di kawasan Mas Gading sahaja ada beberapa projek yang dijanjikan sebelum ini masih terbengkalai misalnya projek Sekolah Menengah Singai yang dijanjikan menjelang pilihanraya umum ke-13 lalu belum siap-siap, hanya sekitar 30 peratus sahaja.
“Selain itu, projek jambatan Kampung Selampit yang dijanjikan sejak tahun 2003 pun masih belum siap. Begitu juga dengan Opar Rural Growth Centre, projek ini dua kali pecah tanah sejak tahun 2006 tetapi hanya jalan masuk sahaja yang siap,” jelas beliau.
Ditanya bagaimana penerimaan golongan muda kepada DAP di kawasannya, Mordi berkata maklum balas yang diterimanya amat positif.
“Masa mula-mula kita dekati golongan muda saya rasa agak sukar. Masa itu mereka pun tidak mengenali DAP.
“Tetapi dengan program dan khidmat masyarakat yang berterusan, penerimaan mereka terhadap kita semakin baik dan amat positif,” ujarnya. – Roketkini.com