Berita

DAP gesa pihak berkuasa siasat kuari cemar Sungai Pegalan di Keningau

KENINGAU, 3 MAC: Pihak berkuasa didesak menyiasat lima kuari sepanjang Sungai Pegalan di sini kerana dipercayai mengakibatkan pencemaran air sungai, mendapan, hakisan tebing dan gangguan terhadap sistem pengairan sawah padi.

Ketua Wanita DAP Keningau, Clare Taunek Simbat, berkata walaupun aktiviti kuari itu sudah berlanjutan selama bertahun-tahun, ia seolah-olah dibiarkan sahaja oleh pihak berkuasa tanpa sebarang tindakan.

“Saya berdiri di atas timbunan batu pasir setinggi 150 kaki, (kawasan ini) seluas lebih kurang 10 ekar. Ini hanya salah satu daripada beberapa kuari besar yang sedang beroperasi di sepanjang Sungai Pegalan.

“Saya berasa kesal perkara ini berlaku. Sepatutnya ia mendapat perhatian serius. Tapi malangnya seolah-olah kurang mendapat perhatian dari pihak berkuasa.

“Bayangkanlah, kesan dan akibatnya pada alam sekitar selama bertahun-tahun hasil bumi ini diambil, dikorek,” katanya yang turut memaparkan gambar-gambar yang diambil di sebuah kawasan kuari di Sungai Pegalan.

Clare memberitahu Roketkini, selain kesan ke atas fizikal sungai, akibat dari aktiviti kuari itu telah menyebabkan kegagalan sistem pengairan sawah padi penduduk sekitar.

“Saya berasa simpati kepada penduduk kampung yang hanya bergantung pada hasil tanaman padi. Persoalannya pernahkah kajian alam sekitar EIA dilakukan dan jika pun diluluskan, sampai bila kegiatan itu akan berlarutan?” katanya.

Menurutnya, aktiviti kuari itu memberi kesan kepada lokasi itu yang melibatkan beberapa kampung dan kawasan sawah padi Skim Bumburing dan Trans Pegalan.

Roketkini dalam laporan sebelum ini pernah mendedahkan nasib pesawah di sekurang-kurangnya sembilan kampung sekitar sini, terjejas berikutan bekalan air untuk pengairan sawah padi seluas sekitar 600 ekar terganggu akibat kerja perlombongan pasir dan lencongan sungai.

Mengulas perkara itu, Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong, menggesa supaya pihak berkuasa konsisten memantau dan tegas terhadap sebarang aktiviti perlombongan haram yang dikhuatiri memberi kesan terhadap alam sekitar.

Beliau mahu siasatan dijalankan segera dan tindakan tegas diambil bagi memastikan penduduk setempat tidak lagi menanggung derita pencemaran dan kesan gangguan sistem pengairan padi. – Roketkini.com