Berita

Pembangkang, Mahathir ikrar singkir Najib

PETALING JAYA, 4 MAC: Hari ini merupakan sebuah detik yang bersejarah buat rakyat Malaysia apabila beberapa pemimpin yang berbeza ideologi seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Mustafa Ali, Mohamad Sabu dan Azmin Ali bersatu hati demi menyelamatkan Malaysia.

Dalam rasa penuh solidariti terhadap nasib rakyat yang saban hari dihimpit kesusahan ekoran ekonomi yang kian memburuk, semua pemimpin politik yang berbeza pandangan dan wakil daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) bersama pemimpin yang dianggap musuh Dr Mahathir bersatu untuk mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur daripada pemerintahan negara.

Dalam deklarasi yang ditandatangani bersama, mereka bersetuju untuk:

  • Menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan;
  • Menyingkirkan semua mereka yang bersekongkol dengan Najib;
  • Memansuhkan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih; dan
  • Memulihkan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengesa supaya semua rakyat Malaysia melupakan perbezaan pandangan dalam usaha bersama untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus menjadi negara yang gagal dan dipenuhi penyangak.

Beliau berkata, setiap individu harus bersatu bukan hanya dalam penyusunan politik malah penyusunan tenaga untuk negara bergerak kehadapan demi kepentingan negara.

“Untuk semua rakyat Malaysia, 30 juta rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan dan fahaman politik, harus bersatu untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus gagal di mata dunia.

“Dan saya fikir ia adalah sesuatu yang penting, dan kita tidak harus berlegar dalam perkara yang tidak releven ketika ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media bersama-sama Mahathir dan pemimpin pembangkang di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini hari ini.

Sidang media itu dilangsungkan bertujuan untuk mengumpul pemimpin politik daripada pelbagai parti dan NGO bagi menandatangani deklarasi ‘Selamatkan Malaysia’ untuk mendesak Perdana Menteri untuk berundur daripada tampuk pemerintahan negara.

Desakan itu dibuat berikutan penglibatan Najib dalam pelbagai salah laku dana awam yang melibatkan tempatan mahupun antarabangsa mengakibatkan negara mendapat nama buruk serta kejatuhan ekonomi yang menjunam teruk.

Ia juga merupakan satu sidang media yang julung-julung kalinya diadakan Mahathir dengan pihak pembangkang sejak perdana menteri paling lama berkhidmat itu berada dalam arena politik.- Roketkini.com