Rencana

Mahathir ‘korban terakhir’ tumbangkan regim BN-Najib?

 

Gelisah ekonomi politik Malaysia perlu dihentikan, dan ya, saya rasa semalam (4 Mac) adalah hari paling pelik dan janggal dalam sejarah politik negara; bagaimana sebuah sosok yang pernah dilabel Mahafiraun, yang pernah digelar bapa kronisme dan nepotisme, yang dituduh gila kuasa, tukang tangkap dan penjarakan orang, akhirnya, dia, Mahathir Mohamad, duduk bersama musuh-musuh politiknya; membenarkan bahawa ‘politik adalah seni segala yang mungkin’- membawa tema sebuah pakatanraya bersama masyarakat sivik dan oposisi “Selamatkan Malaysia”.

Sudah tentu, pakatanraya Selamatkan Malaysia ini mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif rakyat Malaysia. Bagi yang optimis, mereka katakan ini selangkah menuju politik baharu Malaysia, politik pembaharuan, ini menuju sistem dua parti Malaysia dan sebagainya. Bagi yang tidak bersetuju, mereka menuduh pakatan Selamatkan Malaysia sebagai langkah terdesak Mahathir dan pembangkang untuk kepentingan peribadi, untuk merampas kuasa, mereka melemparkan tuduhan bahawa pemimpin oposisi jilat ludah sendiri, mereka dakwa aktivis yang menentang Mahathirisme sebelum ini telah dibeli ahli politik dan banyak lagi.

Apapun caci maki yang dilemparkan, pada pendapat saya, detik bersejarah semalam itu merupakan permulaan yang bermakna kepada rakyat dan politik tanah air. Semalam kita menyaksikan bagaimana berjiwa besarnya tokoh-tokoh dan aktivis ini, menurunkan ego dan amarah terhadap lawan mereka; demi sebuah matlamat untuk Selamatkan Malaysia. Forgive but not forget; wawasan bersama untuk menjatuhkan regim BN Najib ini perlu dijanakan bersama bagi mencapai kejayaan.

Ya, anda boleh berpandangan bahawa saya sedang menyemburkan pujian-pujian untuk menutup ‘kebusukan ahli politik’. Tetapi, saya percaya, sama ada majlis semalam itu jujur atau tidak, politik Malaysia sedang berubah ke tahap yang tidak pernah kita bayangkan selama ini dan keluar dari politik partisan hitam, putih dan kelabu.

Dalam hal ini, bagi saya, kita rakyat Malaysia hanya ada tiga pilihan. Pertama, biarkan sahaja apa yang bakal terjadi kepada negara di bawah regim Najib; kedua, tolak kerjasama pakatan Selamatkan Malaysia; dan ketiga, sama-sama menyokong gerakan baharu ini demi negara tercinta.

Sejujurnya, saya masih tidak dapat percaya apa yang saya lihat semalam. Bagaimana Lim Kit Siang yang pernah disumbatkan dua kali tanpa bicara di kem tahanan Kamunting, mampu untuk mengatasi rasa marah, pilu dan kecewanya dan bersama memandang ke hadapan demi negara tercinta. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin politik dan aktivis Hishamuddin Rais, yang akhirnya melondehkan segala kejelekannya terhadap Mahathirisme; dan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua parti-parti politik bersatu untuk menjayakan gerakan baharu ini.

Mungkin sudah tiba waktu, Mahathir tersedar kegilaan yang pernah dia lakukan suatu ketika dahulu telah memberi kesan terhadap negara dan perlu diperbetulkan meski mungkin beliau perlu menjadi korban untuk menyelamatkan Malaysia. Mungkin juga ada orang lain yang mahu berkorban untuknya.

Persoalannya, mungkinkah Mahathir akan menjadi korban terakhir yang bakal memulakan era baru politik Malaysia? – Roketkini.com