Rencana

Islam diancam apabila negara tidak liberal

Dasar kepada pemikiran liberalisme, sama ada dalam konteks politik, ekonomi atau sosial, adalah keberdayaan manusia, yakni keupayaan individu yang bertindak secara rasional untuk membuat pilihan yang dijangka dapat menjamin kepentingan terbaik mereka.

Walau bagaimanapun, kebebasan pilihan dan kesedaran nurani (conscience) sahaja tidak memadai jika tidak disertakan dengan ruang yang sewajarnya, baik ruang peribadi mahupun ruang awam, yang membenarkan seseorang itu membuat pilihan tanpa diskriminasi atau penganiayaan.

Sebaliknya, istilah illiberalism, yang ditakrif sebagai keadaan tidak liberal, merujuk kepada kekurangan kebebasan asasi tersebut. Oleh itu, tatanegara tidak liberal (illiberal polity) berlaku apabila kemajmukan ditolak dan perbezaan hanya membawa kepada penganiayaan sama ada oleh masyarakat atau kerajaan. Pada masa yang sama, kepatuhan bukan sahaja diwajibkan, malah dipaksakan. Dalam istilah Islam, ia adalah di mana ijtihad (penaakulan bebas) ditindas dan taqlid (kepatuhan membuta tuli) dituntut.

Dalam negara tidak liberal, kebebasan bersuara dan berekspresi disekat dan perbezaan pendapat ditindas. Secara lazimnya, rakyat sentiasa dikawal melalui ketakutan yang direka-reka, iaitu terhadap kewujudan ancaman daripada “pihak lain” (the other). Negara tidak liberal juga mempamerkan kecenderungan autoritarian, di mana kedaulatan undang-undang bermaksud kedaulatan rejim pemerintah. Dalam keadaan ini, rasuah, politik naungan dan penyalahgunaan kuasa biasanya akan berkembang biak.

Sebagaimana dirumuskan oleh cendekiawan Amerika Kim R. Holmes, sifat negara tidak liberal “bukan sahaja mengenai tindakan kerajaan menafikan hak kebebasan bersuara dan kesamarataan rakyat di sisi undang-undang. Ia juga mengenai pengawalan ke atas fikiran dan tindakan rakyat.”[1]

Menggunakan kriteria di atas, adalah amat sukar untuk menafikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara tidak liberal. Walaupun sering dianggap sebagai sebuah negara Islam moderat, hakikatnya kerajaan Malaysia telah menjerut leher rakyatnya. Kadang-kadang dijerut ketat tetapi biasanya dibiar agak longgar agar tidak terlalu disedari, bagaimanapun, dua dekad yang lalu menyaksikan bagaimana jerutan ini semakin diketatkan.

Hakikatnya, menjadi seorang Muslim di Malaysia hari ini bermakna seseorang itu wajib mentaati mazhab dan jalur pandangan tertentu yang diluluskan oleh kerajaan. Jika tidak, maka mereka yang ingkar akan menghadapi risiko dilabel sesat. Kerajaan bukan setakat menggariskan apa yang dibenarkan untuk diimani, umat Islam di Malaysia malah dihalang daripada membaca sekian banyak senarai penerbitan, daripada Ultraman hinggalah kepada Charles Darwin, kerana menurut kebijaksanaan Jakim, tulisan-tulisan ini boleh mengancam akidah mereka.

Pun begitu, pengharaman dan penapisan secara sembereno ini tidak hanya dikenakan secara eksklusif kepada umat Islam sahaja, kerana orang bukan Muslim di Malaysia juga dilarang daripada menggunakan istilah-istilah yang telah diwartakan, seperti “Allah,” “masjid” dan “ulama.” Menghalang bukan Muslim menggunakan istilah-istilah ini sangat membingungkan apabila umat Islam sendiri tidak pula dihalang daripada menggunakan istilah bukan Arab dalam urusan agama seperti “syurga,” “neraka,” “pahala,” “dosa,” dan “sembahyang” yang berasal daripada bahasa Sanskrit.

Di Malaysia yang kononnya moderat ini, kita juga sering mendengar kes rampasan mayat di samping pencerobohan ruang peribadi oleh “polis moral.” Percubaan pemerintah untuk mengenakan kawalan ke atas agama sudah menjadi begitu melampau dan dogmatik sehinggakan sanggup membelanjakan sumber yang besar untuk mendakwa – malah kemudian membuat rayuan selepas kalah di Mahkamah Tinggi – seorang wanita Muslim, Nik Raina Nik Abdul Aziz, hanya kerana beliau bekerja di sebuah kedai buku yang menjual penerbitan yang diharamkan. Yang peliknya, beliau tetap didakwa walaupun serbuan telah dilakukan sebelum buku tersebut diharamkan secara rasmi.

Nampaknya, jerutan telah diperketatkan dengan terlalu kuat sehingga aliran oksigen ke otak sudah terjejas. Sekurang-kurangnya, inilah kesimpulan yang dapat dirumuskan berdasarkan wacana popular mengenai Islam di negara kita pada hari ini. Yang dibicarakan langsung tiada persoalan falsafah yang hebat, sebaliknya, ceramah agama biasanya berkisar pada persoalan remeh – “apakah hukum menghantar SMS kepada teman lelaki saya?” umpamanya.

Tetapi mungkin lebih teruk lagi adalah peningkatan garis pemisah antara Muslim dan bukan Muslim di negara kita. Satu contoh yang jelas adalah pengumuman baru-baru ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa kerajaan bercadang untuk memperkenalkan “apartheid kedai runcit” melalui panduan pengasingan troli halal dan tidak halal. Apakah mungkin juga udara yang kita sedut akan diasingkan pada masa hadapan?

Adalah membahayakan juga apabila Islamisasi mula menyusup ke ranah orang bukan Muslim, seperti dalam kes Indira Gandhi, seorang ibu yang telah dipisahkan selama hampir tujuh tahun daripada anak perempuannya, berikutan penukaran agama bayi mereka kepada Islam oleh bekas suaminya. Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan penuh kepada ibu, pihak polis enggan bertindak atas alasan terdapat perintah Mahkamah Syariah yang memberikan hak penjagaan kepada bapa.

Apabila rakyat sesebuah negara dipisah dan didiskriminasi atas dasar pengenalan kaum atau agama mereka, negara bukan sahaja menjadi tidak liberal, tetapi boleh dikatakan tidak berfungsi.

Lebih mendukacitakan lagi, pengalaman Islam yang tidak liberal di Malaysia ini hanya memberi nama buruk kepada agama. Islam yang sepatutnya menjadi rahmatul-lil-alameen (rahmat untuk semua) dan ajaran yang membawa pembebasan dan kemajuan, semakin digambarkan sebagai doktrin perhambaan yang bersikap tidak bertoleransi. Bukankah ini bertentangan dengan matlamat dakwah, iaitu untuk menarik orang kepada Islam, dan bukannya menolak mereka?

Benar, umat Islam kini kian terancam. Walau bagaimanapun, musuh yang mengancamnya bukanlah Kristian, atau Yahudi, atau Barat, atau orientalisme, atau neo-imperialisme. Ancaman sebenar kepada Islam adalah kebangkitan sifat tidak liberal dalam masyarakat Muslim itu sendiri. Betapa pun senang untuk kita meletakkan kesalahan ke atas warisan penjajah dan komplot asing, realitinya, penguasaan dan pengawalan ke atas Islam oleh pemerintah tidak liberal yang sebenarnya mendatangkan mudarat yang paling besar kepada agama kita. -Roketkini.com

[1] http://www.thepublicdiscourse.com/2014/06/13327/