Rencana

Selamat Hari Wanita: Kesamarataan gender faktor perkembangan ekonomi Pulau Pinang

Pulau Pinang masyhur kerana warganya. Golongan wanita mewakili separuh daripada warga itu, dan hari ini, 8 Mac 2016 – merupakan Hari Wanita yang diraikan di seluruh dunia – adalah masa yang tepat untuk menghargai mereka.

Jika kita bercakap tentang wanita, kita ingat pada ibu, kakak, isteri, anak perempuan dan kawan-kawan. Kita sangat bersyukur dengan kehadiran dan sumbangan mereka dalam hidup kita, kerana apa akan jadi jika mereka tiada?

Tema global untuk sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini adalah “Janji Untuk Kesamarataan”. Kerajaan negeri Pulau Pinang berbangga untuk menyokong tema ini. Kerajaan negeri komited untuk perjuangkan keadilan sosial, di mana semua orang, lelaki atau wanita, tanpa mengira bangsa, agama, dan fahaman politik diberi sokongan sepenuhnya untuk mencapai potensi terbaik mereka.

Kami percaya bahawa lelaki dan wanita adalah sama rata dalam membentuk masyarakat. Dalam kata lain, kerjasama lelaki dan wanita sangat penting dalam misi menjadikan Pulau Pinang negeri yang lebih baik.

Ini adalah wajar kerana sebuah masyarakat yang meminggirkan wanita sama ada dari aspek ekonomi, kehidupan harian, mahupun pembinaan negara, adalah ibarat sebuah kapal terbang dengan hanya sebelah sayap yang berfungsi.

Kajian jelas menunjukkan bahawa kesamarataan gender bermanfaat untuk semua; sama ada kepada wanita, lelaki, kanak-kanak, mahupun masyarakat. Dalam laporan yang diterbitkan pada September 2015, McKinsey & Co mendapati bahawa secara global, jika lelaki dan wanita diberikan peluang saksama, US$28 trilion atau 26% peningkatan kepada GDP global tahunan akan dicapai menjelang tahun 2025.

Di Malaysia, tenaga kerja wanita pada kadar 52.4% pada 2013, yang bererti kita hanya menggunakan separuh daripada potensi golongan wanita. Tapi tidak cukup hanya dengan Kerajaan Pusat menganjurkan golongan wanita, Kerajaan juga perlu mengotakan kata-kata mereka dengan tindakan.

Sebagai contoh, di Pulau Pinang, dengan mengenalpasti hubungan antara pusat jagaan kanak-kanak dan penglibatan golongan wanita dalam bidang itu, kerajaan negeri berhasil menubuhkan dua Pusat Jagaan Kanak-kanak yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri masing-masing sebuah di pulau dan di tanah besar, memperkenalkan Dasar Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-kanak Peringkat Negeri, serta menubuhkan Taska D’Komtar, iaitu pusat jagaan kanak-kanak yang diberi subsidi untuk kakitangan kerajaan negeri di KOMTAR.

Apabila kita mahu menggalakkan wanita untuk mengejar karier pilihan mereka, kita perlu susuli dengan sokongan praktikal, dengan polisi mesra kekeluargaan. Di Pulau Pinang, kita bukan saja menggalakkan wanita bekerja, tapi juga menyediakan peluang untuk mereka memimpin.

Jumlah ahli Parlimen di Pulau Pinang meningkat daripada tiga orang pada 2008 kepada enam pada 2013, peningkatan 100%, sementara di kerusi DUN, peningkatan lima kali ganda daripada seorang pada 2008 kepada lima orang pada 2013.

Jumlah ahli majlis wanita juga meningkat daripada empat orang pada 2015 kepada lapan pada 2016. Ketua ahli majlis tempatan adalah wanita – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Hajjah Patahiyah Binti Ismail, manakala Presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Binti Mohd Sharif.

Agensi penting negeri dipimpin oleh wanita berkebolehan, seperti, Pengurus Besar InvestPenang, Loo Lee Lian, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Korporasi Pembangunan Wanita Pulau Pinang, Datin Rohana Wailer, Pengurus Besar Georgetown Heritage Inc, Dr Ang Ming Chee dan Pengurus Penang Green Council, Ting Siew Shuen.

Janji Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk perjuangkan kesamarataan selari dengan dasar. Apabila kita bercakap tentang membina masyarakat yang lebih saksama, bererti menerapkannya ke aktiviti paling fundamental dalam kerajaan negeri; Belanjawan. Selepas berjaya menerajui Bajet Responsif Gender (BRG) sejak 2013, MBPP dan MPSP telah menginstitusikan BRG dalam aliran belanjawan yang berkaitan.

Program BRG Pulau Pinang begitu berjaya sehingga pakar program ini dijemput memberi nasihat kepada kerajaan di seluruh Asia. Pada Jun 2014, Program GRB mendapat pujian peringkat antarabangsa apabila ia memenangi Special Mention Award daripada International Observatory for Participatory Democracy.

Untuk lebih meluaskan lagi penglibatan wanita terutama di peringkat akar umbi, setiap DUN diberi RM30,000 pada tahun ini untuk program Briged Wanita. Jumlah keseluruhan mencecah RM1.2 juta untuk tujuan ini. Briged Wanita merupakan badan sukarelawan yang dilancarkan kerajaan negeri untuk mempromosi aktivism, advokasi dan kepimpinan di kalangan wanita.

Kerajaan Negeri juga dengan bangganya memberi sokongan kepada wanita melalui program kebajikan seperti Program Ibu Emas yang memberi RM100 kepada setiap ibu tunggal dan suri rumah bawah umur 60 setiap tahun. Ia merupakan kejayaan kerana Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri pertama di Malaysia yang secara formal memberi penghargaan kepada sumbangan golongan wanita dalam ekonomi. Wanita berumur 60 dan ke atas pula akan dimasukkan dalam program penghargaan warga emas.

Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama yang menghargai dan menganjurkan kempen tahunan ‘Penang Goes Orange’ yang berlangsung selama sebulan pada November dan Disember untuk menghentikan keganasan terhadap wanita. Menjadi objektif kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang lebih Bersih, Hijau, Sihat, dan Selamat untuk semua.

Kami berjanji untuk terus memberi penghargaan dan sokongan kepada pencapaian penting, sumbangan, peranan dan tempat golongan wanita dalam membentuk tanah air tercinta.

Selamat Hari Wanita Sedunia untuk semua.