Berita

Sarawak: DAP gesa Adenan Satem sekat monopoli balak ‘Big 6’

KUCHING, 8 MAC: Monopoli jutaan ekar kawasan balak oleh enam syarikat kroni terbesar di Sarawak harus dihentikan segera untuk mengurangkan kadar penebangan hutan yang berleluasa di negeri itu di samping mewujudkan lebih banyak peluang dan perkongsian ekonomi.

Lebih mengejutkan, enam syarikat balak yang digelar ‘Big 6’ itu, menurut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, merupakan kroni legasi bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Pehin Taib Mahmud, yang dibiarkan berleluasa hingga saat ini.

“Musuh utama industri balak di Sarawak bukan lagi pembalakan haram tetapi monopoli oleh enam syarikat kroni yang dinamakan ‘Big 6’ iaitu WTK Holdings Sdn Bhd, KTS Holdings Sdn Bhd, Rimbunan Hijau, Ta Ann, Samling and Shin Yang dan anak-anak syarikat mereka yang berkaitan.

“Monopoli kumpulan ‘Big 6’ ini merupakan legasi Taib Mahmud dan harus dihentikan melainkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mahu meneruskan polisi kronisme Taib,” katanya dalam satu kenyataan.

Keluasan konsesi balak yang dianugerahkan kepada ‘Big 6’ adalah:
1. Ta Ann Group of Companies — 1,069,935 ekar
2. RH Group of Companies — 2,475,604 ekar
3. Shin Yang Group of Companies — 1,237,716 ekar
4. Samling Group of Companies — 3,183,565 ekar
5. KTS Group of Companies — 357,017 ekar
6. WTK Group of Companies — 882,176 ekar

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Kuching berkata, jumlah keluasan konsesi balak yang diberikan kepada syarikat-syarikat kroni itu meliputi satu per tiga daripada jumlah keluasan negeri Sarawak.

“Jika kita bandingkan jumlah rasmi pengeluaran hasil balak Sarawak dan pembalakan haram berdasarkan data tahun 2009 hingga 2014, kita akan dapati kayu balak yang dirampas adalah kurang 1% dari jumlah keseluruhan pengeluaran balak,” jelas beliau.

Melalui data itu daripada 56.48 juta meter padu pengeluaran balak, hanya 151,286 meter padu balak yang dirampas, dan telah menyebabkan lebih 500 akaun bank syarikat-syarikat berkaitan dibekukan.

“Namun, persoalannya, tidak ada sebuah syarikat pun didakwa dan dijatuhkan hukuman di mahkamah,” kata Chieng Jen yang juga merupakan Adun Kota Sentosa.

Justeru, beliau menegaskan, sekiranya Adenan mahu memperbaiki keadaan yang berlaku dan memberikan keadilan kepada rakyat Sarawak, beliau harus menyemak semula dan menamatkan sebahagian besar lesen pembalakan yang diberikan kepada ‘Big 6’.

Selain itu, katanya, Adena juga boleh membahagikan lesen-lesen pembalakan ini kepada kawasan yang lebih kecil dan melalui tender terbuka, dan mengenakan larangan terhadap pembalakan.

Pada masa yang sama, tambah beliau, kerajaan negeri patut menggalakkan industri perkayuan yang akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada warga tempatan. – Roketkini.com