Rencana

Hari Wanita: Keluarga dan negara bukan tanggungjawab eksklusif mana-mana gender

Ramai orang beranggapan perkataan ‘wanita’ bermaksud wanita yang sudah berkahwin sahaja. Namun sebenarnya, Hari Wanita Sedunia adalah untuk semua wanita dan disambut oleh wanita di semua negara tanpa mengira status perkahwinannya.

Matlamat Hari Wanita Sedunia adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung hak asasi wanita dan isu diskriminasi jantina.

Di negara kita, hak wanita untuk mendapatkan peluang pendidikan hampir sama dengan kaum lelaki. Meskipun jumlah wanita yang mendapat peluang pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi lebih ramai berbanding kaum lelaki, namun kadar penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan hanyalah 55% sahaja.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam titah ucapan pembukaan sidang Parlimen semalam menyeru semua pihak untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif untuk golongan wanita. Oleh demikian, saya berharap titah Yang di-Pertuan Agong tersebut dapat diikuti oleh semua sektor kerajaan dan swasta.

Saya pernah mendengar orang mengatakan wanita yang berkerjaya tidak layak mengeluh terhadap pengorbanan keluarga dan anak-anak mereka. Kenyataan tersebut bukan sahaja menjadi penghalang kepada kehidupan yang lebih baik bahkan menunjukkan mereka tidak tahu keperluan hidup masa kini yang kian membebankan dan menyebabkan kedua-dua suami dan isteri terpaksa bekerja.

Realitinya, kajian pembangunan sosial menunjukkan bahawa trend suami dan isteri bekerja untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi keluarga adalah tidak dapat dielakkan dan mempunyai beberapa sudut pandang yang positif.

Pertama, isteri yang mempunyai kerjaya sendiri dapat membantu mengurangkan tekanan menyara keperluan keluarga yang ditanggung sendiri oleh suami.

Kedua, dalam keluarga suami dan isteri dapat bersama-sama memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa, suami dapat meluangkan lebih banyak masa membesarkan anak-anak.

Ketiga, wanita yang berkerjaya juga dapat meningkatkan keyakinan diri mereka. Kedudukan wanita seimbang dengan kaum lelaki dapat mengelakkan keganasan rumah tangga daripada terus berlaku.

Pendaftaran kemasukan pelajar wanita ke Institusi Pengajian Tinggi merekodkan jumlah kemasukan pelajar wanita sebanyak 45.5%, manakala kadar pelajar lelaki hanya merekodkan kemasukan sebanyak 35.2%. Ini menunjukkan pelajar wanita mempunyai peluang yang lebih banyak untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi.

Hasil kajian juga menunjukkan sekurang-kuranganya seramai 50% mahasiswi telah mendapat pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Berbanding sebanyak 50 % mahasiswa yang hanya mencapai tahap pendidikan di peringkat sijil atau Diploma.

Pembangunan negara memerlukan penglibatan tenaga kaum wanita, terutamanya mereka yang berpendidikan tinggi. Oleh demikian, sistem masyarakat atau kerajaan perlu membantu bukan sahaja golongan wanita, tetapi juga golongan lelaki supaya mereka mampu mengimbangi keperluan kerjaya dan juga keluarga.

Dalam masyarakat yang menjunjung kesaksamaan jantina, golongan lelaki dan wanita masing-masing dibenarkan untuk menceburi bidang kerjaya yang diminati. Pada masa yang sama, tanggungjawab untuk menjaga anak dan keluarga juga adalah perlu dipikul oleh kedua-dua pihak – Roketkini.com

 

*Penulis merupakan Ahli Parlimen Kulai